Saturday, 13 April 2013

43. MISI KETENTERAAN TERAKHIR OLEH USAMAH BIN ZAID


Masa              : Safar Tahun Ke-11 Hijrah
Tempat           : Palestin

Sikap keangkuhan kerajaan Rom telah menjadikan ia menolak hak kebebasan hidup. Keangkuhan itulah yang mendorong Rom membunuh rakyat-rakyatnya yang memeluk agama Islam, sebagaimana tindakannya ke atas Farwah bin al-Juzami Gabenor perlantikan Rom untuk daerah Maan, dibunuh kerana memeluk Islam. Baginda melihat serius sikap Rom yang menyombong dan keras kepala tidak menentu, lantaran itu Rasulullah segera menyediakan satu angkatan yang besar pada bulan Safar tahun ke-11 Hijrah, di mana Usamah bin Zaid telah diberi tanggungjawab untuk mengepalai angkatan ini.
Baginda memerintahkan supaya Usamah memasuki perbatasan al-Balqa' dan al-Darom di bumi Palestin bertujuan mengugut Rom dan mengembalikan kepercayaan bangsa Arab yang bersempadan dengan Rom, supaya mereka mengetahui bahawa kebiadapan dan keterlanjuran Rom itu tidak dibiar berlaku begitu sahaja disamping mengikis sindrom kononnya memeluk Islam hanya membawa kepada kematian semata-mata. Orang ramai menyebut-nyebut tentang Usamah bin Zaid kerana beliau merupakan pemimpin tentera Islam yang masih muda, malah mereka mengharapkan supaya diperlewatkan sedikit penghantarannya. Di sini Rasulullah s.a.w. mengulas dengan sabdanya yang bermaksud: "Sekiranya kamu mempersoalkan kepimpinannya bererti kamu mempersoalkan kepimpinan bapanya yang terdahulu, demi Allah, meskipun kepimpinan dipertikaikan namun beliau adalah layak untuk tugas berkenaan, bapanya yang terdahulu adalah orang kesayangan ku, dan beliau ini juga adalah antara orang kesayangan ku selepas bapanya yang terdahulu".
Dengan itu orang ramai pun mula berhimpun di sekeliling Usamah menyertai perbarisan tenteranya, akhirnya mereka semua bergerak hingga sampai dan singgah di al-Jaraf, satu Farsakh jaraknya dari Madinah. Semasa tentera Islam di sana, mereka mendapat berita mengenai kesakitan yang dialami oleh Rasulullah s.a.w, berita ini membuatkan mereka teragak-agak untuk meneruskan pergerakan ini, supaya mereka dapat mengetahui ketetapan Allah itu. Dengan izin-Nya, Allah mentakdirkan tentera pimpinan Usamah ini merupakan penghantaran pertama yang dilakukan semasa pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq. 

42. OPERASI ALI BIN ABU TALIB


Masa              : Rabiul Awal tahun 9 Hijrah
Tempat           : Tayyi

Operasi Ali bin Abu Talib ke Tayyi untuk memusnahkan berhala yang bernama al-Qalas pada bulan Rabiul Awal tahun 9 Hijrah. Rasulullah s.a.w. mengutuskan bersama seratus lima puluh anggota yang menunggang seratus ekor unta dan lima puluh ekor kuda. Ali membawa bersamanya bendera hitam putih. Mereka telah melancarkan serangan ke atas perkampungan Hatim pada waktu subuh.  Mereka berjaya meruntuhkan berhala itu dan membawa pulang ramai tawanan serta kambing dan unta. Dalam kalangan orang tawanan itu terdapat seorang saudara perempuan Adiy bin Hatim, sementara Adiy melarikan diri ke Syam. Tentera Islam menemui dalam khazanah berhala al-Qalas itu tiga bilah pedang dan tiga baju besi. Dalam perjalanan pulang mereka telah membahagikan harta-harta rampasan itu dan mengasingkan harta yang terbaik untuk diserahkan kepada Rasulullah s.a.w. Mereka tidak membahagikan tawanan-tawanan keluarga Hatim.
Setelah sampai ke Madinah saudara perempuan ‘Adiy bin Hatim meminta simpati Rasulullah s.a.w. dengan katanya : “Wahai Rasulullah, telah hilang tempat berlindung kami dan telah putus hubungan dengan anak-anak sedangkan saya seorang wanita yang telah tua. Saya tak berupaya menjadi khadam lagi. Maka tolonglah bebaskan saya, mudah-mudahan Allah memberi kurnia-Nya kepadamu”. Rasulullah s.a.w. bertanya : “Siapa pelindung kamu?”. Dia menjawab : “Adiy bin Hatim”. Baginda berkata : “Itu orangnya yang lari daripada Allah dan Rasul-Nya?”. Kemudian baginda meninggalkannya. Besoknya wanita itu menemui baginda dan berkata seperti itu juga, lalu Rasulullah s.a.w. menjawabnya seperti jawapan semalam. Lusa harinya, dia juga mengatakan perkataan yang sama, lalu Rasulullah s.a.w. membebaskannya. Ketika itu di sebelah Rasulullah s.a.w. ada seorang lelaki kemungkinan Ali lalu lelaki itu berkata kepada wanita tersebut : Mintalah kepada Rasulullah s.a.w. supaya menyediakan pengusungan, lalu dia meminta kepada Rasulullah s.a.w. pengusungan untuk membawanya. Rasulullah s.a.w. menunaikan permintaannya. Setelah itu saudara perempuan Adiy itu pun pulang kepada saudaranya ‘Adiy yang berada di Syam. Setelah bertemu ‘Adiy dia menceritakan tentang peribadi Rasulullah s.a.w. dengan katanya : Dia telah melakukan satu perbuatan yang bapamu sendiri tidak pernah melakukannya. Justeru, pergilah bertemunya secara sukarela atau terpaksa. Lalu ‘Adiy datang kepada Rasulullah s.a.w. tanpa membawa sebarang perlindungan keamanan dan surat jaminan keselamatan. Dia datang ke rumah Rasulullah s.a.w. Apabila dia duduk di hadapan Rasulullah s.a.w, Baginda memuji Allah dan mengucapkan kesyukuran ke atas-Nya. Kemudian Baginda berkata : “Mengapa kamu lari? Kamu lari daripada menyebutkan tiada tuhan melainkan Allah? Tahukah kamu siapa lagi tuhan selain Allah?”. Jawab ‘Adiy : “Tidak”. Baginda berkata : “Sesungguhnya orang-orang yang sesat”. Adiy berkata : “Sesungguhnya aku telah menjadi seorang yang hanif dan muslim”. Lalu sinarlah wajah Rasulullah s.a.w. keriangan, kemudian Baginda menyuruh supaya ‘Adiy ditumpangkan di rumah seorang lelaki Ansar. Setelah itu ‘Adiy berulang alik datang kepada Rasulullah s.a.w. pagi dan petang. Dalam riwayat Abu Ishak daripada ‘Adiy menyebutkan : Tatkala Rasulullah s.a.w. memepersilakan ‘Adiy duduk di hadapannya semasa di dalam rumahnya, baginda berkata kepadanya : “Ada apa, hai ‘Adiy bin Hatim, bukankah kamu seorang penganut agama Rakusi (agama campuran Yahudi dan Kristian)?”. ‘Adiy menjawab : “Memang benar”. Baginda bertanya lagi : Bukankah engkau mengambil satu perempat hasil rampasan perang dari kaummu?” Jawab ‘Adiy : “Memang benar”. Nabi berkata : “Bukankah tindakan itu tidak dihalalkan dalam agamamu?”. ‘Adiy berkata : “Benar, demi Allah”. Kata ‘Adiy seterusnya : lantas, aku pun tahu bahawa dia benar-benar seorang nabi yang diutuskan kerana dia mengetahui apa yang orang tidak tahu.
Dalam riwayat Imam Ahmad menyebutkan : Nabi s.a.w. berkata : “Hai ‘Adiy bin Hatim, masuklah Islam nescaya kamu selamat”. Aku pun berkata : “Aku telah mempunyai agama”. Nabi menjawab : Aku lebih tahu daripadamu tentang agamamu”. Lalu aku berkata : “Engkau lebih tahu daripadaku tentang agamaku?”. Baginda menjawab : “Ya, bukankah engkau penganut agama Rakusi dan engkau mengambil satu perempat harta rampasan kaummu?”. Lalu aku menjawab : “Bahkan”. Nabi berkata : “itu tidak dihalalkan untukmu dalam agamamu”. Kata ‘Adiy. Sebaik sahaja baginda menyebut kata-kata itu aku pun berserah diri kepadanya.
 Al-Bukhariy meriwayatkan daripada ‘Adiy yang berkata : Ketika aku bersama Nabi s.a.w. tiba-tiba datanglah seorang lelaki mengadu kesusahnya kepada Nabi.  Kemudian datang seorang lagi yang mengadu terputus belanja dalam perjalanan. Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata : “Hai ‘Adiy, pernahkah engkau melihat negeri Hijah? Kalau umurmu panjang engkau akan dapat melihat seorang wanita yang berada dalam tandu (usungan yang ditanggung oleh unta) datang dari Hijah dan bertawaf di Ka’bah, dia tidak takut kepada seorang pun kecuali Allah. Kalau umurmu masih panjang maka engkau akan berjaya membuka perbendaharaan kekayaan Kisra. Dan kalau umurmu panjang engkau akan dapat melihat ada orang memegang penuh di tangannya emas dan perak sambil mencari-cari orang yang mahu menerimanya tetapi dia tidak menemui seorang pun yang sudi menerima pemberiannya”. Di akhir hadith itu disebutkan : ‘Adiy berkata : “Aku telah pun melihat seorang wanita di dalam tandu yang berangkat dari Hijah sehingga masuk bertawaf di Ka’bah tanpa merasa takut kepada seorang pun kecuali Allah, dan aku juga termasuk dalam kalangan mereka yang membuka khazanah kekayaan Kisra di Armuz. Dan kalau kamu mendapat umur yang panjang nescaya kamu akan melihat terbuktinya apa yang dikatakan oleh Abu al-Qasim tentang seorang lelaki yang memegang emas dan perak penuh di tangannya.”
            

41. OPERASI AL-QAMAH BIN MUJAZ AL-MUDLAJI


Masa              : Rabiul Akhir Tahun 9 Hijrah
Tempat           : Persisiran Pantai Jedah

Operasi Al-Qamah bin Mujaz al-Mudlaji ke persisiran Pantai Jedah pada bulan Rabiul Akhir tahun 9 Hijrah dengan kekuatan anggota seramai tiga ratus orang.  Baginda menghantar mereka kepada beberapa orang Habsyah yang telah berkumpul berhampiran pantai-pantai di Jedah untuk menjalankan aktiviti rompakan sebagai penentangan kepada penduduk Mekah. Al-Qamah telah menyerang laut sehingga sampai ke daratan dan apabila mereka mendengar kedatangan tentera Islam, mereka pun melarikan diri.

40. OPERASI AL-DAHHAK BIN SUFIYAN AL-KILABIY


Masa              : Rabiul Awal tahun 9 Hijrah
Tempat           : Perkampungan Bani Kilab

Operasi Al-Dahhak bin Sufiyan Al-Kilabiy kepada Bani Kilab pada bulan Rabiul Awal tahun 9 Hijrah. Skuad ini diutuskan kepada Bani Kilab dengan tujuan untuk mengajak mereka memeluk islam. Tetapi mereka enggan menerimanya malah memilih untuk berperang. Lantas mereka berjaya ditewaskan oleh tentera-tentera Islam dan seorang lelaki daripada kalangan mereka terbunuh.

39. OPERASI QUTBAH BIN AMIR


Masa              : Safar Tahun 9 Hijrah
Tempat           : Perkampungan Khath’am

Operasi Qutbah bin Amir ke Perkampungan Khath’am di Tabbalah berhampiran dengan Turbah pada bulan Safar tahun 9 Hijrah. Qutbah keluar dengan dua puluh orang anggota mengenderai sepuluh ekor unta secara bergilir-gilir, lalu melancarkan serangan. Dalam serangan itu tercetuslah pertempuran hebat sehingga ramai orang luka di kedua-dua belah pihak. Qutbah sendiri termasuk dalam kalangan mereka yang terbunuh. Tetapi tentera Islam berjaya membawa pulang rampasan unta dan kambing serta beberapa tawanan wanita ke Madinah.

38. OPERASI UYAYNAH BIN HISN AL-FAZARIY


Masa              : Muharram tahun 9 Hijrah
Tempat           : Perkampungan Bani Tanim

Operasi Uyaynah bin Hisn Al-Fazariy pada bulan Muharram tahun 9 Hijrah menuju ke tempat Bani Tanim dengan kekuatan anggota seramai lima puluh penunggang kuda. Dalam kalangan mereka tidak ada sebarang pun orang Muhajirin dan Ansar. Sebab operasi ini dijalankan ialah kerana Bani Tamin telah menyerang beberapa kabilah di sana dan menghalang mereka daripada membayar jizyah. Uyaynah bin Hisn bergerak pada waktu malam dan bersembunyi di siang hari sehingga akhirnya dia menyerang mereka di kawasan padang pasir dan menyebabkan kaum itu melarikan diri. Mereka berjaya menawan sebelas orang lelaki dan dua puluh satu orang wanita serta tiga puluh orang kanak-kanak. Tawanan-tawanan ini dibawa ke Madinah dan ditempatkan di rumah Ramlah binti al-Harith. Kemudian sepuluh orang pemimpin kaum itu datang mengetuk pintu rumah Nabi Muhammad sambil berkata : “Hai Muhammad, keluarlah pada kami”. Apabila Nabi Muhammad keluar, mereka mengerumuni Nabi s.a.w. dan cuba berunding dengannya. Nabi s.a.w. berhenti sejenak mendengar keluhan mereka. Kemudian baginda beredar pergi untuk menunaikan solat zohor. Setelah selesai solat, Baginda duduk di serambi masjid. Ketika itulah mereka cuba untuk menampilkan kebanggaan dan kehebatan mereka dengan cara mengemukakan seorang jurucakap yang bernama Utarid bin Hajib. Lalu dia pun memulakan bicara dan Rasulullah s.a.w. menyuruh Thabit bin Qays menjadi jurucakap Islam untuk menjawab bicara mereka. Kemudian mereka menampilkan pula seorang penyair mereka iaitu al-Zabarqan bin Badr lalu dengan megahnya dia membaca syair-syairnya. Tetapi Hasan bin Thabit sebagai mewakili penyair Islam menjawab syair-syairnya secara spontan sahaja. Selesai kedua jurucakap dan kedua penyair itu menyampaikan bicara dan syair mereka, al-Aqra’ bin Habis berkata : “ Jurucakapnya (Rasulullah) lebih petah daripada jurucakap kita dan penyairnya lebih hebat daripada penyair kita, suara mereka lebih tinggi daripada suara kita dan kata-kata mereka lebih hebat daripada kata-kata kita”. Kemudian mereka memeluk Islam, lalu Rasulullah s.a.w. memberikan hadiah kepada mereka dan mengembalikan wanita dan anak-anak mereka yang ditawan

37. OPERASI KHALID BIN AL-WALID


Masa        : Syawal Tahun 8 Hijrah
Tempat     : Pemukiman Juzaimah Yalamlam

Setelah Khalid kembali dari memusnahkan Uzza, Rasulullah s.a.w. mengutuskannya kepada Bani Jadhimah untuk menyeru mereka kepada Islam. Peristiwa ini berlaku pada bulan Syawal Tahun 8 Hijrah. Khalid keluar bersama 350 orang Islam. Sesampainya mereka di sana Khalid pun mengajak mereka memeluk Islam. Tetapi mereka tidak mengatakan “kami masuk islam” sebaliknya mereka mengatakan “kami telah meninggalkan agama lama kami”. Lantaran itu, Khalid membunuh dan menawan mereka. Disuruhnya setiap anggota membunuh seorang tawanan dalam sehari. Ibn Umar dan sahabat-sahabatnya enggan mengikut suruhan itu dan menceritakan perkara tersebut kepada Rasulullah. Rasulullah s.a.w. menadah tangan dan berkata: “ Ya Allah, sesungguhnya aku berlepas diri kepadamu daripada tindakan Khalid”. Rasulullah mengutuskan Ali untuk membayar diat terhadap mangsa pembunuhan dan kerugian yang mereka alami. Manakala, Khalid pula tidak dikenakan apa-apa hukuman.

36. UTUSAN SAAD BIN ZAID AL-ASYHADI


            Masa        : Ramadan Tahun 8 Hijrah
          Tempat     : Musyallal

Pada bulan Ramadan Tahun 8 Hijrah, rasulullah mengutuskan Saad bin Zaid Al-Asyhadi bersama 20 orang penunggang berkuda untuk memusnahkan berhala Manah di Musyallal dekat Qudaid. Berhala itu adalah milik orang-orang Aus, Khazraj, Ghassan, dan lain-lain. Sesampai di sana penjaga menghalang Saad daripada memusnahkan berhala tersebut dan apabila Saad ingin menghampiri penjaga tersebut, tiba-tiba seorang perempuan bogel yang berkulit hitam keluar sambil menyeru-nyeru dengan kecelakaan  dan menepuk-nepuk dadanya. Lantas, Saad memukul dan membunuh perempuan itu. Kemudian dia maju kearah berhala lantas memusnahkanya. Mereka tidak menemui apa-apa di dalam rumah simpanan berhala itu.

35. MISI AMRU BIN AL-AS


Masa              : Ramadan tahun 8 Hijrah
Tempat           : Rahat

Rasulullah mengutuskan Amru bin Al-As pada bulan Ramadan tahun 8 Hijrah untuk memusnahkan berhala Suwa’ iaitu berhala milik Kabilah Hudail di Rahat yang jauhnya, tiga batu dari Mekah. Sesampainya di sana penjaga berhala berkata kepada Amru: “apakah kamu mahu?” Jawab Amru : “rasulullah s.a.w. menyuruhku memusnahkan berhala ini”. “Kamu tidak akan berupaya melakukannya”. “Mengapa?” Tanya Amru. “Kamu pasti akan dihalang”  kata penjaga itu. Amru berkata: “Sampai saat inipun kamu masih berpegang dengan kebatilan itu? Jahanam kamu, adakah berhala ini dapat mendengar dan melihat?”. Kemudian Amru pun menghampiri berhala itu dan memecahkannya. Disuruhnya sahabat meruntuhkan rumah simpanan berhala itu. Kemudian Amru berkata kepada penjaganya: “Apa pandanganmu?” Penjaga itu menjawab: “Aku menyerah diri kepada Allah (memeluk islam)”.

34. OPERASI KHALID BIN AL-WALID


Masa              : Ramadan tahun 8 hijrah
Tempat           : Nakhlah

Setelah Rasulullah merasa aman selepas pembukaan Kota Mekah, Baginda pun mengutuskan Khalid bin Al-Walid untuk pergi ke Nakhlah pada lima hari sebelum berakhirnya Ramadan tahun 8 hijrah. Tujuannya ialah untuk memusnahkan berhala Al-Uzza di situ. Berhala itu milik Quraish dan seluruh Bani Kinanah dan berhala terbesar mereka. Penjaga berhala itu ialah Bani Shaiban. Khalid keluar bersama 30 orang penunggang kuda lalu memusnahkan berhala itu. Setelah pulang rasulullah s.a.w. bertanya: “adakah kamu melihat apa-apa?”. Khalid menjawab: tidak. Baginda berkata: “kamu belum memusnahkannya, kembalilah semula dan musnahkannya”. Dengan rasa marah, Khalid pergi semula ke sana sambil siap menghunuskan pedangnya. Tiba-tiba keluarlah seorang perempuan yang bertelanjang (syaitan) berkulit hitam dan rambut mengerbang sehingga penjaga berhala Uzza menjerit memanggilnya. Khalid terus melibaskan pdangnya hingga terbelah dua badannya. Kemudian beliau pulang memberitahu Rasulullah s.a.w. lalu baginda bersabda: “ya, itulah uzza, dia sudah berputus asa untuk disembah di negeri kamu selama-lamanya”.

33. PENGUTUSAN ABU QUTADAH KE KHUDRAH


Masa              : Syaaban tahun ke-8 Hijrah
Tempat           : Khudrah

Penghantaran sariyyah ini pada bulan Syaaban tahun ke-8 Hijrah, kerana Banu Ghatafan sedang berkumpul di Khudrah, ianya kediaman Banu Maharib di Najd, Rasulullah mengutus Abu Qutadah bersama lima belas orang tentera. Dalam operasi itu, ada musuh yang dibunuh dan ada yang ditawan serta ada juga harta rampasan yang diperoleh. Abu qatadah meninggalkan Madinah dalam operasi ini selama lima belas hari.

32. MISI AMRU BIN AL-AS


Masa              : Jamadilakhir Tahun Ke-8 Hijrah
Tempat           : Zat al-Salasil

Setelah Rasulullah mengenalpasti sikap qabilah-qabilah Arab yang mendiami perbatasan negeri al-Syam itu semasa peperangan Mu'tah, di mana mereka telah bersekutu dengan Rom melawan umat Islam, maka Rasulullah s.a.w merasa amat perlu untuk bertindak penuh kebijaksanaan dalam memecahkan perpaduan antara mereka dan seterusnya boleh membawa kepada perubahan sikap mereka untuk bersekutu dengan umat Islam supaya perpaduan mereka tidak berulang sekali lagi.
Bagi menjayakan perancangan Rasulullah itu dan untuk menarik mereka kepada Islam, Baginda memilih Amru bin al-As, orang yang akan melaksanakan tindakan itu, kerana neneknya adalah daripada qabilah Bila, Baginda mengutusnya pada bulan Jamadilakhir tahun ke-8 Hijrah, selepas peperangan Mu'tah. Malah ada juga pendapat yang mengatakan bahawa: Telah sampai berita daripada risikan Islam di mana sekumpulan banu Qudhaah telah berkumpul untuk menuju ke Madinah, justeru itulah maka Rasulullah mengutus Amru bin al-As. Rasulullah s.a.w menyerahkan bendera putih kepada Amru bin al-As, dan bersama-samanya panji berwarna hijau, dengan kekuatan tiga ratus 300 orang daripada kalangan Muhajirin dan al-Ansar. di samping itu, bersama mereka tiga puluh ekor kuda, Baginda menyuruh beliau meminta bantuan dengan mana-mana qabilah Arab yang beliau lewati seperti Bila, Uzrah dan Balqin.
Beliau bergerak pada malam hari dan berselindung pada siang hari, apabila beliau mendekati kediaman qabilah berkenaan, didapati mereka dalam kumpulan yang besar jumlahnya. Justeru itu beliau mengutus permohonan tambahan bantuan kepada Rasulullah, dibawa oleh Rafie' bin Makith al-Juhani. Dengan itu Rasulullah pun mengirim satu unit tentera Islam dibawa pimpinan Abu Ubaidah Ibni al-Jarrah dengan kekuatan seramai dua ratus orang tentera keseluruhannya adalah kaum Muhajirin dan al-Ansar turut bersama Abu Bakar dan Umar Ibni al-Khattab. Rasulullah menyerah panji pimpinan kepada Amru Ibni al-Aas, Baginda mengarah mereka supaya menemui Amru, kedua unit harus bergabung dan jangan sekali-kali berpecah. Setibanya Abu Ubaidah di tempat Amru maka beliau hendak mengimami sembahyang jemaah, lantas Amru membantah tindakannya itu dengan katanya: Sebenarnya kau sampai di sini sebagai bantuan dan aku tetap sebagai Amir. Dengan itu Abu Ubaidah pun mematuhi Amru bin al-As, di mana Amru mengimami sekalian yang hadir.
Sariyyah Amru pun bergerak hingga memasuki negeri kediaman Qudhaah dan menawannya hingga ke hujung perbatasan, di sana tentera Islam menemui kumpulan musuh, dan terus mereka menyerang kumpulan itu, kesudahannya mereka lari bertempiaran ke merata tempat. Dari sana Amru mengutus Auf bin Malik al-Asyja'i untuk menyampaikan berita kepada Rasulullah tentang kepulangan dan keselamatan mereka serta laporan mengenai peperangan yang mereka harungi.
Zat al-Salasil adalah satu kawasan yang terletak di belakang Wadi al-Qura. Jaraknya dengan Madinah ialah selama sepuluh hari perjalanan. Ibnu Ishak menyebut bahawa tentera Islam singgah di perairan kawasan Banu Juzam dikenali sebagai al-Salasil, maka tempat itu dinamakan Zat al-Salasil. 

31. Peperangan Mu'tah


Masa              : Jamadilawal Tahun Ke-8 Hijrah
Tempat           : Mu'tah

Peperangan Mu'tah ini merupakan peperangan sariyyah terbesar, padanya berlaku pertempuran yang sengit dan berat, peperangan yang berdarah, yang pernah diharungi oleh tentera Islam khususnya semasa hayat Rasulullah s.a.w. lanya merupakan sebagai muqadimah dan permulaan kejayaan Islam ke atas bumi-bumi Kristian atau Nasara, peristiwa ini berlaku pada bulan Jamadilawal pada tahun ke-8 Hijrah, bersamaan bulan Ogos atau September tahun 629 Masihi. Mu'tah merupakan sebuah kampung yang berdekatan daerah Balqa' di negeri al-Syam. Jarak antaranya dengan Baitul Maqadis ialah dua marhalah. Sebab berlakunya peperangan ini adalah kerana Rasulullah menghantar utusannya al-Harith bin Umar al-Uzdi dengan sepucuk surat  kepada pembesar di daerah Basra, tetapi Syurahbil bin Umar al-Ghassani, Gabenor Bandar Balqa' negeri al-Syam bagi pihak Qaisar Rom telah menangkap al-Harith dan menyerahkannya kepada Qaisar dan Qaisar pula bertindak memancung lehernya.
Pembunuhan mana-mana utusan dan perwakilan merupakan suatu jenayah yang amat berat tindakannya menyamai dengan pengisytiharan perang, malah lebih berat lagi daripada itu. Tindakan itu suatu perkara yang amat berat bagi Rasulullah s.a.w, sebaik sahaja berita mengenainya sampai kepada pengetahuan Rasulullah, Baginda terus mengerakkan satu kontijen tentera dengan kekuatan seramai 3000 orang tentera, ianya adalah tentera Islam yang terbanyak, yang belum pernah dikerahkan oleh Rasulullah selain daripada peperangan al-Ahzab. Peperangan ini termasuk dalam peperangan sariyyah kerana baginda tidak ikut serta. Pimpinan kontinjen tentera Islam ini diserahkan kepada Zaid bin Harithah, seterusnya Rasulullah berpesan: Sekiranya Zaid gugur maka Jaafar mengambil tempatnya dan seandainya Jaafar turut gugur syahid, maka Abdullah bin Rawahah pula tampil mengambil teraju kepimpinan tentera Islam, di sini Rasulullah menyerahkan mereka sebuah bendera putih yang diberinya ke tangan Zaid bin al-Harithah. Rasulullah s.a.w memesan mereka supaya mereka melalui kawasan di mana al-Harith bin Amir dibunuh, dan supaya mengajak orang-orang di sana kepada Islam, sekiranya mereka berdegil maka hendaklah memohon pertolongan daripada Allah untuk memerangi mereka dengan ungkapan sabdanya yang bermaksud: “Ayuh! dengan Nama Allah seranglah mereka yang kufur dengan Allah, janganlah kamu khianat atau menyamun, jangan bunuh anak-anak kecil atau perempuan, atau tua, atau orang bertapa di biara, jangan kamu tebang kurma-kurma atau pokok-pokok dan jangan robohkan bangunan-bangunan”.
 Tentera Islam terus mara ke utara sehingga sampai ke kawasan bernama Ma'an dalam jajahan negeri Syam iaitu di utara bumi Hijaz, di situ mereka telah mendapati berita, bahawa Hercules sudah pun bergerak dengan tenteranya ke tempat bernama Ma'ab di daerah al-Balqa' dengan seratus ribu tentera Rom, kemudian turut bergabung dengannya qabilah-qabilah Arab: Lakham, Juzam, Balqin, Bahra'a dan Bila dengan kekuatan mereka seramai seratus ribu orang. Sebenarnya tentera Islam sedikit pun tidak menyangka bahawa mereka akan berhadapan dengan bilangan tentera yang sebegini ramai, yang mengejutkan itu, di suatu bumi yang jauh dari al-Madinah, tempat mereka datang, apakah wajar tentera yang kecil bilangannya bertindak menyerang tentera yang besar bak lautan yang tidak bertepi itu, yang seramai dua ratus ribu itu? Tentera Islam menjadi serba salah, dua malam berturut-turut mereka memikirkan tindakan selanjutnya, selepas itu kata mereka: kita tulis surat kepada Rasulullah, menceritakan kepada Baginda bilangan musuh kita, lepas itu mungkin Rasulullah menghantar bantuan atau menyuruh kita dengan sesuatu arahan yang akan kita patuhinya. Tetapi Abdullah bin Rawahah membangkang pendapat tersebut dengan katanya: Wahai kalian, demi Allah sesungguhnya yang kamu tidak suka, itulah sebenarnya yang kamu semua keluar kerananya, mati syahid, kita tidak memerangi manusia dengan bilangan kita yang banyak atau dengan kekuatan dan persenjataan, kita tidak memerangi mereka kecuali dengan agama ini yang dikurniakan oleh Allah kepada kita sehingga kita menjadi mulia, ayuh marilah kamu ke hadapan ambillah salah satu kebaikan: Kemenangan mengatasi seteru atau mati syahid.
Akhirnya sekalian mereka pun bersetuju dan berpuas hati dengan pendapat Abdullah bin Rawahah. Setelah dua malam berturut-turut tentera Islam bermesyuarat, di mana berakhir dengan persetujuan menerima pendapat Abdullah bin Rawahah, justeru itu seluruh tentera Islam pun bergerak ke arah musuh. Di salah sebuah kampung Balqa' mereka bertembung dengan sekumpulan tentera Hercules di tempat bernama Masyarif. Tentera musuh cuba menghampiri mereka, tetapi tentera Islam membelok ke suatu kawasan dikenali sebagai Mu'tah di sana mereka mengambil tempat dan menyusun strategi, unit kanan diletak dibawah pimpinan Qutbah bin Qutadah al-Uzri manakala unit kiri di bawah pimpinan Ubadah bin Malik al-Ansari. Di bumi Mu'tah kedua-dua kumpulan bertemu, peperangan sengit pun bermula, tiga ribu tentera menghadapi serangan dua ratus ribu tentera. Satu peperangan luar biasa yang pernah dunia saksikannya dengan kehairanan dan keajaiban, tetapi inilah yang dikatakan: Apabila iman menyemarak dijiwa, maka berlakulah perkara-perkara luar biasa".
Panji peperangan pun dipegang oleh Zaid bin Harithah orang kesayangan Rasulullah s.a.w. Beliau merempuh serangan musuh penuh keberanian tiada tara, terus beliau mengasak hinggalah beliau terkena tikaman musuh, membawa beliau terkorban sebagai seorang syahid. Dengan itu panji Islam terus diambil oleh Jaafar bin Abi Talib, beliau pun tidak kurang dari Zaid bin Harithah, hingga apabila beliau terasa berat berperang dengan kuda, beliau melompat dari kudanya yang berwarna perang itu lantas disembelihnya, kini beliau bertempur di bawah, hingga apabila tangan kanannya terputus maka panji Islam itu dipegang dengan tangan kirinya, dan setelah tangan kirinya terpotong pula, lalu diapit bendera itu dengan dua belah lengannya. Dengan keadaan begini beliau terus menjulang bendera Islam hinggalah beliau gugur syahid, ada pula pendapat mengatakan yang beliau telah ditetak oleh seorang Roman hingga terputus dua, dan kemudian Allah menggantikannya dengan dua sayap yang memboleh beliau berterbangan di dalam syurga Allah, ke mana sahaja yang beliau mahu, kerana itu beliau dikenali sebagai Jaafar al-Tayyar dan Jaafar zul al-Janahain. Al-Bukhari meriwayatkan dari Nafi' bahawa Ibnu Umar telah menceritakan kepadanya semasa beliau mendapati Jaafar telah syahid, dibadannya terdapat kesan-kesan pukulan dan tikaman sebanyak lima puluh bekas, tidak ada satu pun di sebelah belakangnya yang tidak mempunyai bekas. Di dalam satu riwayat yang lain kata Ibnu Umar: Ku bersama mereka di dalam peperangan berkenaan, kami mencari Jaafar, kami dapati beliau di antara yang terbunuh syahid, kami melihat pada jasadnya lebih sembilan puluh lubang tikaman dan tetakan yang telah disebut dalam riwayat al-Umri dari Nafi'. Dan kami telah mendapati kesemuanya itu dari sebelah hadapan jasadnya. Ketika Jaafar gugur selepas pertarungan yang sengit itu maka bendera Islam dicapai oleh Abdullah bin Rawahah, dengan itu beliau pun terus memecut kudanya mara ke hadapan, beliau teragak-agak untuk turun dari kudanya, hinggalah keadaan memaksa beliau. Beliau melompat turun, kemudian anak saudaranya menghadiahkan seketul daging dengan berkata: Makanlah buat menguatkan badanmu, hari ini kau menghadapi keadaan yang sama yang pernah kau alaminya. Beliau mengambilnya dan mengigit secebis kemudian beliau membuangnya. Lantas beliau menghunus pedangnya sambil mara ke hadapan dan terus bertarung hingga gugur sebagai syahid. Serta merta seorang askar dari Banu 'Ijlan dikenali sebagai Thabit bin Arqam memegang bendera Islam sambil melaung: Wahai kalian tentera Islam, pilihiah seorang di antara kamu untuk tugas ini. Jawab tentera lain: Kamulah orangnya, kata Thabit: Aku tak bolehlah, akhirnya orang ramai bersetuju dengan Khalid bin al-Walid. Apabila beliau memegang bendera terus beliau mengharungi kancah pertempuran yang sedang sengit. Al-Bukhari meriwayatkan dari Khalid al-Walid katanya: Di hari Mu'tah itu sembilan bilah pedang telah terpatah di tanganku, yang kekal dan dapat bertahan hingga ke akhir peperangan hanya pedang Yamaniah. Dalam lafaz yang lain katanya: Di hari Mu'tah sahaja sembilan bilah pedang terpatah di dalam tangan ku, yang tahan hanya pedang Yamaniah ku. Dalam peristiwa Mu'tah itu Rasulullah telah menceritakan kepada sahabat melalui wahyu yang diturunkan kepada Baginda, sebelum beritanya dibawa orang dari medan perang. Sabdanya yang bermaksud: Bendera dibawa oleh Zaid, beliau jatuh kemudian ianya diambil oleh Jaafar dan beliau jatuh lantas diambil oleh Ibni Rawahah, Ibnu Rawahah pun gugur, di masa itu Rasulullah berlenang air mata hinggalah bendera Islam dicapai oleh Pedang Allah maka dengannya pembukaan pun selamat terlaksana. Meskipun keberanian yang luar biasa dan kepahlawanan yang tiada tara bandingannya, namun ianya adalah suatu hal yang luar biasa juga, bagi sekumpulan tentera yang bilangannya kecil berbanding dengan tentera musuh yang ramai hingga menutupi bumi Mu'tah, memang luar biasa baginya untuk memenangi tentera Roman.
Di dalam kegawatan suasana itu, Khalid bin al-Walid telah memperlihatkan kecekapannya malah kebijaksanaannya untuk keluar dari keadaan yang cemas di mana mereka tersepit di dalam kancah pertempuran yang tidak diduga. Beberapa riwayat yang berbagai, telah menceritakan khusus mengenai kesudahan peperangan ini. Setelah kita meneliti kesemua riwayat ini, nampaknya Khalid bin al-Walid berjaya berhadapan dengan tentera Roman sepanjang hari. Sepanjang pengendalian, beliau merasakan amat perlu kepada satu taktik dan tipu helah peperangan untuk menimbulkan kegerunan dalam kalangan tentera Roman, supaya dengannya dapat beliau melepaskan dan membawa keluar tentera Islam dari kancah peperangan. Pada masa yang sama tidak membiarkan tentera Roman memburu mereka. Sebenarnya beliau amat arif bahawa peluang untuk melepaskan tentera Islam daripada suasana yang dihadapinya itu amat tipis, terutamanya dalam keadaan umat Islam berkecamuk malah pihak Roman pasti akan memburu mereka dari belakang. Sebagai tindakan kepada rancangannya itu, sebaik sahaja subuh menjelang beliau menukar posisi tentera, dan menyusun semula kedudukan tentera Islam, dengan mengubah barisan hadapan ke belakang yang kiri ke kanan dan sebaliknya.
Apabila tentera Roman melihat penyusunan baru mereka menyangka suatu keadaan lain, mereka menyangka bahawa tentera Islam mendapat bantuan, mereka mula merasa takut dan gerun, setelah mana kedua-dua tentera berhadapan, pertempuran pun bermula, di sini Khalid bertindak berundur perlahan-perlahan ke belakang di samping mengekalkan sistem dan struktur tentera semasa mereka berundur, tentera Roman tidak pula memburu mereka kerana pada sangkaan mereka bahawa .tentera Islam mengunakan taktik untuk memerangkap mereka di gurun padang pasir luas saujana mata memandang itu.
Beginilah caranya hingga pihak musuh pulang ke negaranya tanpa memikir untuk memburu kaum muslimin, dengan itu berjayalah Khalid untuk melepaskan tentera Islam dari ancaman, cengkaman dan buruan tentera Rom, akhirnya selamatlah mereka pulang ke Madinah.
Seramai dua belas orang tentera Islam gugur syahid manakala bilangan tentera Roman tidak diketahui dengan sebenarnya, Walau macam mana pun dianggarkan angka kematian adalah tinggi. Meskipun tentera Islam tidak dapat menuntut bela, namun pergerakan ini telah menatijahkan kesan yang besar, dengannya kemasyhuran tentera Islam menjadi gah, membuatkan orang Arab menjadi panik dan taajub, kerana Rom adalah kuasa besar dan terhebat dunia pada masa itu.
Pada mulanya orang Arab menyangka keberanian tentera Islam untuk berhadapan dengan tentera Rom itu adalah tindakan membunuh diri sendiri. Namun setelah tentera Islam dengan bilangannya yang kecil seramai tiga ribu orang itu mencabar tentera Rom yang besar lagi gagah gerkasa seramai dua ratus ribu orang itu, kemudian tentera Islam pulang ke Madinah tanpa mengalami kerugian yang besar, semuanya menjadi macam satu legenda, malah peristiwa ini, membuktikan bahawa tentera Islam adalah unik belum pernah bangsa Arab mengenali contoh seperti  ini. Jelaslah bahawa tentera Islam telah dibantu dan disokong oleh Allah s.w.t, dan ketua mereka iaitu Rasulullah adalah benar. Maka justeru itulah kita dapati qabilah-qabilah Arab yang menjadi musuh ketat Islam, yang memusuhi Islam hinggalah ke saat sebelum peristiwa bersejarah itu, telah mengubah pendiriannya, di mana Banu Salim, Asyja', Ghatafan, Zibyan, Fazarah dan lain-lain telah memeluk Islam. Peperangan ini merupakan permulaan kepada pertarungan berdarah dengan Rom pada masa-masa hadapan, malah ianya juga sebagai landasan dan permulaan kepada pembukaan-pembukaan Islam ke atas negeri-negeri Rom seterusnya penaklukan Islam ke atas negeri-negeri lain yang lebih jauh.

30. OPERASI ABU HADRAD AL-ASLAMI


Masa              : Tahun 7 Hijrah Sebelum Umrah Qada’
Tempat           : Ghabah

Operasi Abu Hadrad Al-Aslami Ke Ghabah. Ibn Al-Qayyim menyebutkan bahawa operasi ini berlaku pada Tahun 7 Hijrah Sebelum Umrah Qada’. Secara ringkasnya, seorang lelaki daripada keluarga Jashm bin Muawiyah datang ke Ghabah bersama angkatan yang ramai dengan tujuan mengajak Kaum Qays menyertai mereka menentang orang-orang Islam. Lantas Rasulullah s.a.w. mengutuskan Abu Hadrad bersama dua orang lelaki lagi mengetuai operasi ini. Abu Hadrad telah mengatur strategi yang cukup bijak sehingga pihak musuh mengalami kekalahan yang teruk, dan mereka berjaya mendapat unta dan kambing yang banyak.

29. OPERASI BASYIR BIN SAAD AL-ANSARI


Masa              : Syawal Tahun 7 Hijrah
Tempat           : Yaman dan Jabbar

Operasi Basyir bin Saad Al-Ansari ke Yaman dan Jabbar pada bulan Syawal Tahun 7 Hijrah. Anggota pasukan Islam ialah seramai 300 orang. Tujuan operasi ini adalah untuk menghadapi perkumpulan besar yang bersiap sedia hendak menyerang kawasan Pinggiran Madinah. Dalam operasi ini mereka bergerak pada waktu malam dan bersembunyi pada waktu siang. Apabila penduduk kedua-dua tempat ini mendapat berita tentang kedatangan Islam, merekapun melarikan diri. Basyir berjaya merampas binatang ternak yang banyak dan menawan dua orang. Dua orang itu dibawa bertemu Rasulullah dan akhirnya memeluk Islam.

28. OPERASI ABDULLAH BIN RAWAHAH


Masa              : Syawal Tahun 7 Hijrah
Tempat           : Khaibar

Operasi Abdullah bin Rawahah ke Khaibar pada bulan Syawal Tahun 7 Hijrah bersama kekuatan anggota seramai 30 orang yang menunggang kenderaan. Operasi ini dilancarkan kerana Usair bin Zaram mengumpulkan Kabilah Ghatfan untuk memerangi orang Islam. Dalam operasi ini mereka berjaya memujuk Usair bersama 30 orang sahabatnya untuk keluar dengan memberikan harapan bahawa Nabi s.a.w.akan melantiknya untuk mengendalikan urusan di Khaibar. Tetapi apabila mereka sampai di Qarqarah Niyar, Usair menyesali keputusannya mengikut rombongan orang Islam lalu dia bertindak merampas senjata Abdullah bin Rawahah memandangkan dia tidak membawa senjata. Namun usahanya tidak berjaya apabila Abdullah lebih cepat menyedari dan terus menyerangnya. Serangan tersebut membuatkan Usair putus kedua-dua kakinya dan kemudiannya mati. Manakala pengikut kedua-dua belah pihak juga turut berperang sehingga menanglah tentera Islam dan matilah semua kaum Yahudi itu.

27. OPERASI GHALIB BIN ABDULLAH AL-LAITI


Masa              : Ramadan Tahun 7 Hijrah
Tempat           : Maifaah / Al-Huruqat

Operasi Ghalib Bin Abdullah Al-Laiti pada bulan Ramadan Tahun 7 Hijrah menuju ke tempat Bani Awwal  dan Bani Abd bin Tha’labah di Maifaah. Dikatakan bahawa mereka menuju ke Al-Huruqat satu kawasan di Juhfiyyah dengan kekuatan anggota seramai 130 orang. Sesampai di sana mereka melancarkan serangan dan berjaya membunuh ketua kabilah itu serta merampas kambingdan unta. Dalam peperangan inilah Usamah bin Zaid telah membunuh Nuhaik bin Mirdas setelah dia mengucapkan la ilaha illallah. Nabi berkata kepadanya: “Apakah telah engkau belah hatinya sehingga engkau  benar-benar tahu bahawa dia bercakap benar atau tidak?”

26. OPERASI BASYIR BIN SAAD AL-ANSARI


Masa              : Shaaban Tahun 7 Hijrah
Tempat           : Perkampungan Bani Murrah

Operasi Basyir bin Saad Al-Ansari menuju ke tempat Bani Murrah bersebelahan Fadak pada bulan Shaaban Tahun 7 Hijrah bersama kekuatan anggota seramai tiga puluh orang. Dalam operasi itu, mereka berjaya merampas kambing dan unta. Dalam perjalanan pulang mereka telah diburu oleh pihak musuh pada waktu malam. Lalu mereka pun melepaskan panah sehingga habis kesemua panah Basyir dan sahabat-sahabatnya. Akhirnya, semua anggota operasi ini dibunuh kecuali Basyir yang cedera parah dan berjaya meloloskan diri ke perkampungan yahudi. Apabila luka-lukanya telah sembuh, diapun kembali ke madinah.

25. OPERASI UMAR BIN AL-KHATTAB


Masa      : Syaaban Tahun 7 Hijrah 
     Tempat    : Turbah

Operasi Umar bin Al-Khattab ke Turbah pada Bulan Syaaban Tahun 7 Hijrah bersama tiga orang tentera. Mereka berjalan pada waktu malam dan bersembunyi pada siang hari. Berita kedatangan mereka sampai kepada pengetahuan Bani Hawazin, lalu mereka melarikan diri. Umar sampai di kampung tersebut tetapi tidak menemui seorangpun. Lalu dia pun beredar pulang.

24. OPERASI GHALIB BIN ABDULLAH AL-LAITHI


Masa              : Safar / Rabiulawal Tahun 7 Hijrah
Tempat           : Qudaid

Operasi Ghalib bin Abdullah Al-Laithi menuju ke tempat Bani Mulawwah di Qudaid. Operasi ini dijalankan pada bulan Safar atau Rabiulawal Tahun 7 Hijrah. Bani Mulawwah sebelum itu telah membunuh beberapa orang sahabat Basyir bin Suwaid. Justeru, Nabi mengutuskan pasukan ini untuk membalas dendam. Mereka melancarkan serangan pada waktu malam dan membunuh beberapa orang serta merampas binatang ternak. Pihak musuh dengan kekuatan yang besar mengejar mereka dan apabila hampir sampai kepada tentera Islam, tiba-tiba hujan lebat turun mencurah-curah sehingga menyebabkan banjir besar dan menghalang kedua-dua pasukan bertembung. Akhirnya, tentera Islam berjaya pulang dengan selamat.

23. OPERASI OLEH ABAN BIN SAID


Masa              : Safar Tahun 7 Hijrah
Tempat           : Najd

Nabi s.a.w. bimbang apabila membiarkan Madinah sepi tanpa pertahanan apabila Nabi dan tentera Islam berada dalam Peperangan Khaibar. Lantas nabi mengutuskan satu pasukan yang diketuai oleh Aban bin Said ke Najd untuk menakutkan orang-orang Arab yang berada di sekitar Madinah. Operasi ini berlaku pada bulan Safar Tahun 7 Hijrah.

22. SARIYYAH KURZ BIN JABIR AL-FIHRI


Masa              : Syawal tahun ke-6 Hijrah
Tempat           : Pinggiran Madinah

Sariyyah Kurz bin Jabir al-Fihri kepada Qabilah Urainah pada bulan Syawal tahun ke-6 Hijrah. Cerita bermula di mana sebilangan anggota qabilah Urainah dan Ukl menzahirkan keislaman mereka, dan mereka ini menetap di Madinah. Oleh itu, Rasulullah s.a.w. pun menghantar kepada mereka beberapa ekor unta bersama gembalanya untuk menternak di sekitar itu, dan Rasulullah berkata: "Kamu bolehlah meminum dari susunya dan air kencingnya". Semua itu adalah sebagai ubat bagi mereka. Pada suatu pagi mereka serang dan bunuh pentemaknya dan bawa lari semua unta-unta itu. Ini bererti mereka murtad daripada agama Islam maka Rasulullah mengutus Kurz al-Fihri bersama dengan tiga  puluh orang sahabat yang pandai berkuda dan bersenjata lengkap sambil Baginda berdoa ke atas mereka yang bermaksud: "Ya Allah Ya Tuhanku! butakanlah mata mereka daripada melihat jalan, sempitkanlah laluan mereka " . Maka Allah halang perjalanan mereka, hingga tentera Islam sempat menangkap mereka, lalu dipotong kaki dan tangan mereka serta dibutakan mata mereka, balasan ke atas jenayah yang mereka lakukan, kemudian ditinggalkan mereka di situ dan kesudahannya mereka semua mati.

21. SARIYYAH ABU BAKAR AL-SIDDIQ


Masa              : Ramadhan tahun ke-6 Hijrah
Tempat           : Wadi al-Qura

Sariyyah Abu Bakar al-Siddiq ke Wadi al-Qura pada bulan Ramadhan tahun ke-6 Hijrah. Qabilah Fazarah telah pun bercadang hendak membunuh Rasulullah, maka Baginda menghantar Abu Bakar al-Siddiq mengetuai tentera ke sana. 
Kata Salamah bin al-Akwa': "Aku telah keluar bersama-sama beliau selepas selesai solat subuh. kami diperintahkan untuk menyerang. Lalu kami berjaya menguasa mata air mereka. Abu Bakar berjaya membunuh beberapa orang, aku terlihat sekumpulan orang-orang Fazarah bersama-sama mereka kaum wanita, aku takut mereka akan berjaya melarikan ke bukit, akupun kejar mereka dan memanah di antara mereka dan bukit, dan apabila mereka melihat anak panah itu mereka pun berhenti, di antara mereka terdapat seorang perempuan, perempuan itu ialah Ummu Qarfah yang berselimut kulit binatang bersama-samanya anak perempuan yang paling cantik dalam kalangan bangsa Arab. Kesemua mereka aku tawan dan bawa ke hadapan Abu Bakar, anak perempuan tadi telah dijadikan milikku, tetapi aku tidak menggaulinya. Rasulullah meminta daripada Abu Bakar anak perempuan Ummu Qarfah tadi, kemudian dihantar ke Makkah sebagai tebusan kepada tawanan-tawanan Islam di sana. Ummu Qarfah adalah ketua durjana Banu Fazarah, dia telah merancang untuk membunuh Rasulullah. Dia telah menyediakan sebanyak tiga puluh askar berkuda daripada anggota keluarganya untuk tujuan berkenaan. Akhirnya, dia menerima balasannya dan  tiga puluh orang tenteranya dibunuh.”

20. SARIYYAH ALI BIN ABI TALIB


Masa              : Syaaban tahun ke-6 Hijrah
Tempat           : Fadak

Sariyyah Ali bin Abi Talib ke daerah Banu Saad bin Bakar di Fadak pada bulan Syaaban tahun ke-6 Hijrah. Sebab Rasulullah s.a.w menghantar tentera ke sana ialah sebagaimana yang dilaporkan oleh risikan Rasulullah bahawa qabilah berkenaan hendak membantu kaum Yahudi memerangi Rasulullah. Lantas, Rasulullah menghantar Ali ke sana dengan kekuatan tentera seramai 200 orang, mereka bergerak pada malam hari dan bersembunyi pada siang hari, hingga apabila tertangkap seorang pengintipnya maka disoal dan didapati memang benar perkhabaran itu, iaitu Banu Saad telah menghantarnya untuk menawar bantuan mereka dengan syarat bahawa tamar Khaibar Hams diberikan kepada mereka. Pengintip itu juga telah menunjuk tempat perkumpulan Banu Saad, dengan itu mereka menyerang Banu Saad di tempat mereka, dan dapat merampas lima ratus ekor unta dan dua ratus kambing. Banu Saad telah lari menyelamatkan diri tanpa membawa apa-apa. Ketua mereka ialah Wabar bin Alim. 

19. SARIYYAH ABDUL RAHMAN BIN AUF


Masa              : Syaaban Tahun Ke-6 Hijrah
Tempat           : Daumah al-Jundal

Sariyyah Abdul Rahman bin Auf ke daerah banu Kilab di Daumah al-Jundal pada bulan Syaaban Tahun Ke-6 Hijrah. Rasulullah memanggil Abdul Rahman duduk di hadapannya serta dipakaikan serban ke kepalanya dan Baginda berpesan kepada beliau supaya melakukan yang terbaik di dalam peperangan dengan sabdanya: "Sekiranya mereka itu mentaati kau, maka hendaklah kau berkahwin dengan puteri rajanya”.
Abdul Rahman tinggal di sana selama tiga hari sambil menyeru mereka kepada Islam, sehingga semua mereka memeluk Islam dan Abdul Rahman pun berkahwinlah dengan Tamadhur binti al-Asbagh yang dikenali sebagai Ummu Abi Salamah, bapanya adalah pemimpin dan raja qabilahnya.

18. OPERASI AL-KHABAT


Masa              : Sebelum Perjanjian Hudaibiyah
Tempat           : Al-Khabat

Operasi ini berlaku sebelum Perjanjian Hudaibiyah oleh tiga ratus penunggang yang diketuai oleh Abu Ubaidah bin Al-Jarrah untuk mengintip rombongan dagang Quraish. Dalam perjalanan ini, orang Islam menghadapi masalah kelaparan yang amat sangat  sehingga terpaksa memakan daun kering. Lantaran itulah tentera operasi ini dinamakan Al-Khabat (daun kering). Ada beberapa orang dalam kalangan mereka terpaksa menyembelih unta tunggangan. Selepas itu, Abu Ubaidah melarang mereka menyembelih lagi haiwan tunggangan. Mereka bergerak sehingga sampai ke tepi pantai. Di sana mereka menemui seekor bangkai ikan yang besar dipanggil Al-Anbar. Lalu mereka makan ikan itu selama setengah bulan.

17. OPERASI ZAID BIN HARITAH


Masa              : Rejab Tahun 6 Hijrah
Tempat           : Wadi Al-Qura

Operasi Zaid bin Haritah ke Wadi Al-Qura pada bulan Rejab Tahun 6 Hijrah. Zaid keluar bersama dua belas anggota menuju ke Wadi Al-Qura untuk membuat risikan tentang musuh. Namun begitu, pasukannya diserang oleh penduduk Wadi Al-Qura dan mengorbankan sembilan orang manakala tiga lagi termasuk Zaid berjaya menyelamatkan diri.

16. OPERASI ZAID BIN HARITHAH


Masa  : Jamadil Akhir Tahun 6 Hijrah
Tempat: Al-Taraf

Operasi Zaid bin Harithah ke Al-Taraf pada bulan Jamadil Akhir Tahun 6 Hijrah. Operasi ini berlaku kerana membalas serangan Bani Tha’labah yang telah mengambil haiwan ternak  orang Islam dan membunuh orang Islam. Zaid keluar bersama lima belas orang anggota menuju ke perkampungan Bani Tha’labah selama empat hari. Berita keluarnya Zaid itu menyebabkan orang Arab melarikan diri kerana bimbang Rasulullah s.a.w. bergerak menuju kepada mereka. Dalam operasi itu, Zaid berjaya mendapat binatang ternak sebanyak dua puluh ekor unta.

15. OPERASI ZAID BIN HARITHAH


Masa              : Jamadil Awal Tahun 6 Hijrah
Tempat           : Al-Is

Operasi Zaid bin Harithah ke Al-Is pada bulan Jamadil Awal Tahun 6 Hijrah bersama 70 orang tentera berkenderaan. Dalam operasi ini, tentera Islam berjaya merampas harta perdagangan Quraish yang dibawa oleh menantu Nabi, Abu Al-As. Namun begitu, Abu Al-As berjaya melarikan diri dan pergi bertemu dengan Zainab ( bekas isterinya) untuk meminta perlindungan dan meminta Zainab memohon kepada Rasulullah supaya harta perdagangan tadi dikembalikan. Selepas Nabi s.a.w. berbincang dengan para sahabat, akhirnya harta tersebut dikembalikan. Lalu Abu Al-As kembali ke Mekah dan menyerahkan harta tersebut kepada pemilik asalnya. Kemudian Abu Al-As memeluk Islam dan berhijrah ke Madinah. Seterusnya dia rujuk dengan Zainab selepas tiga tahun berpisah.

14. OPERASI ZAID BIN HARITHAH


               Masa      : Rabiulakhir Tahun 6 Hijrah
Tempat      : Al-Jamum

Operasi Zaid bin Harithah ke Al-Jamum pada bulan Rabiulakhir Tahun 6 Hijrah. Al-Jamum ialah sebuah mata air milik Bani Sulaim. Zaid keluar dan dapat menangkap seorang wanita dari Muzainah yang bernama Halimah. Wanita itu menunjukkan kepada mereka tempat Bani Sulaim. Dengan bantuan wanita itu, mereka berjaya merampas kambing, unta, dan orang tawanan. Setelah dikumpulkan barang rampasan itu, Rasulullah membebaskn wanita itu dan suaminya.

13. OPERASI ABU UBAIDAH BIN AL-JARRAH


Masa  : Rabiulakhir Tahun 6 Hijrah
Tempat: Zul Qashah

Operasi Abu Ubaidah bin Al-Jarrah ke Zul Qashah pada Rabiulakhir Tahun 6 Hijrah. Nabi s.a.w. mengutuskan Abu Ubaidah ke sana sebaik sahaja mendapat berita pembunuhan sahabat-sahabat Muhammad bin Maslamah. Abu ubaidah keluar bersama empat puluh orang tentera ke tempat peristiwa itu. Mereka berjalan pada malam hari dan terserempak dengan Bani Tha’labah pada waktu subuh, lantas terus menyerang mereka. Tetapi kaum itu lari naik ke atas bukit. Namun mereka dapat menangkap seorang lelaki yang kemudiannya memeluk Islam serta merampas harta rampasan yang terdiri daripada unta dan kambing.

12. OPERASI MUHAMMAD BIN MASLAMAH


Masa              : Rabiulawal Tahun 6 Hijrah
Tempat           : Zul Qashah

Operasi Muhammad bin Maslamah ke Zul Qashah pada bulan Rabiulawal Tahun 6 Hijrah. Muhammad keluar bersama sepuluh orang tentera ke Al-Qashah di perkampungan Bani Tha’labah, tetapi kaum itu bersembunyi, mereka berjumlah 100 orang. Tatkala Muhammad bin Maslamah dan sahabat-sahabatnya tidur, kaum itu keluar dan membunuh mereka kecuali Muhammad yang berjaya melarikan diri dalam keadaan cedera selepas berpura-pura mati.

11. OPERASI UKASHA BIN MIHSAN


Masa              : Rabiul Awal Tahun 6 Hijrah
Tempat           : Al-Ghamr

Operasi Ukasha bin Mihsan ke Al-Ghamr pada bulan Rabiul Awal Tahun 6 Hijrah. Ukasha keluar bersama empat puluh orang tentera ke Al-Ghamr iaitu sebuah mata air Bani Asad. Sesampai di sana kaum itu melarikan diri dan tentera Islam berjaya mendapat dua ratus ekor unta yang dibawa pulang ke madinah.

10. OPERASI MUHAMMAD BIN MASLAMAH


Masa              : 10 Muharram Tahun 6 Hijrah
Tempat           : Perkampungan Bani Bakar bin Kilab

Operasi pertama selepas berakhirnya Peperangan Ahzab dan Bani Quraizah ialah operasi Muhammad bin Maslamah. Operasi ini terdiri daripada tiga puluh orang anggota tentera berkenderaan. Tentera Islam bergerak keluar ke tempat Bani Bakar bin Kilab pada 10 Muharram Tahun 6 Hijrah. Tentera Islam menyerang perkampungan itu dan berjaya merampas unta dan kambing. Mereka juga berjaya menangkap Thumamah bin Athal Al-Hanafi iaitu Ketua Bani Hanifah yang sebelum itu telah menyamar untuk cubaan membunuh Nabi atas arahan Musailamah Al-Kazab. Tentera Islam bergerak pulang ke Madinah pada malam terakhir bulan Muharram.

9. SARIYYAH BI'RU MA'UNAH


Masa              : Safar Tahun 4 Hijrah
Tempat           : Bi'ru Ma'unah

Sariyyah Bi'ru Ma'unah berlaku di Wilayah Timur Madinah antara kaum Muslim dan Bani Amir. Sariyyah ini berlaku pada bulan Safar Tahun 4 Hijrah. Sariyyah ini juga dikenali sebagai Tragedi Bi’ru Maunah. Ringkasnya peristiwa ini ialah Nabi Muhammad s.a.w. mengutuskan  Amir bin Malik (Abu Barra'), seorang pemimpin daripada Bani Amir yang sebelumnya menolak untuk memeluk agama Islam, beserta al-Munzir bin Amar dari Bani Sa'idah untuk memimpin 70 orang tentera yang terdiri daripada para penghafal Al-Qur'an dan antara umat islam yang terbaik, orang yang terhormat, dan pemimpin-pemimpin kaum. Rombongan tersebut berjalan sampai di Bi'ru Ma'unah, yakni suatu daerah antara Bani Amir dan Bani Salim. Mereka mengutuskan Haram bin Milhan untuk mengirimkan surat kepada Amir bin Tufail, pemimpin Bani Amir. Namun Amir bin Tufail membunuh Haram bin Milhan tanpa memandangpun surat tersebut. Kemudian Amir bin Tufail mengerahkan pula kaumnya untuk membunuh rombongan Islam. Kaum Muslim mengalami kekalahan dalam sariyyah ini kerana semua pasukan gugur, kecuali Kaab bin Zaid al-Ansari yang berpura-pura mati dalam kalangan orang Islam yang cedera. Rabiah, anak Abu Barra', membunuh Amir bin Tufail dengan sebilah tombak sebagai balas dendam atas kematian ayahnya.

8. OPERASI AL-RAJI’


Masa              : Safar Tahun 4 Hijrah
Tempat           : Al-Raji’

Operasi ini berlangsung di Raji', yakni suatu daerah yang terletak di antara Mekah dan 'Asfan dan melibatkan pasukan muslimin melawan pasukan Bani Lihyan. Peristiwa ini berlaku pada bulan Safar Tahun 4 Hijrah. Bani Lihyan merencanakan balas dendam atas terbunuhnya Khalid. Mereka mengutuskan satu kaum daripada Bani Adal dan Qarah untuk meminta agar Nabi Muhammad s.a.w. mengirimkan beberapa sahabat untuk memberi pelajaran agama Islam kepada mereka. Nabi Muhammad s.a.w. mengabulkan permintaan itu dan mengirimkan sepuluh orang sahabat beserta rombongan utusan Bani Lihyan. Asim bin thabit dilantik untuk mengetuai rombongan ini. Namun di pertengahan jalan iaitu di Raji’ sahabat ini diserang oleh pasukan Bani Lihyan yang sebelum itu telah mengekori rombongan tersebut . Mereka berjumlah hampir seratus orang pemanah. Akhirnya, tujuh orang dalam kalangan orang Islam terbunuh dan tiga lainnya ditawan oleh musuh. Tiga orang sahabat yang ditawan selanjutnya dibawa kepada kaum musyrikin Mekah dan akhirnya dibunuh.

7. OPERASI ABDULLAH BIN UNAIS


Masa              : 5 Muharram Tahun 4 Hijrah
Tempat           : Uranah (berdekat Arafah)

Pada 5 Muharram Tahun 4 Hijrah, Nabi mendapat berita bahawa  Khalid bin Sufian Al-Hudhali sedang mengumpulkan bala tenteranya untuk memerangi orang Islam. Disebabkan hal inilah, Nabi mengutuskan Abdullah bin Unais untuk menghalangnya. Abdullah pun bergeraklah keluar dari Madinah. Selama lima belas hari, berita tentangnya tidak diketahui. Pada hari Sabtu, tujuh hari sebelum tamatnya bulan Muharram dia sampai di Madinah dengan membawa kepala Khalid yang telah dibunuhnya. Diletakkan kepala tersebut di hadapan Nabi s.a.w. lalu Nabi s.a.w.  menghadiahkan sebatang tongkat kepadanya sambil berkata: “Ini tanda antaraku dengan kamu pada hari kiamat”.
Maka pada saat tiba kematiannya, Abdullah berpesan supaya letakkan tongkat tersebut bersamanya di dalam kain kafan”.

6. OPERASI ABU SALAMAH


Masa     : Muharram Tahun 4 Hijrah
Tempat  : Perkampungan Bani Asad bin Khuzaimah

Golongan yang pertama melancarkan serangan yang pertama terhadap orang Islam selepas Peperangan Uhud ialah Bani Asad bin Khuzaimah. Operasi ini berlaku pada awal bulan Muharram Tahun 4 Hijrah. Laporan risikan mendedahkan bahawa Talhah dan Salamah ialah dua orang anak Khuwaild telah melancarkan kempen dalam kalangan kaumnya untuk memerangi Rasulullah. Lantaran itu, Nabi s.a.w segera mengutuskan tentera yang terdiri daripada seratus lima puluh orang pejuang. Abu Salamah telah membuat serangan mengejut terhadap Bani Asad bin Khuzaimah di kampung halaman mereka sendiri  sebelum mereka sempat untuk melancarkan serangan ke Mekah. Mereka kalah dan tentera Islam berjaya merampas unta dan kambing kepunyaan kaum itu. Namun begitu, Abu Salamah yang telah tercedera semasa Perang Uhud mula parah lukanya sehingga tidak lama kemudian beliau pun meninggal dunia.

5. OPERASI ZAID BIN HARITHAH


Masa              : Jamadil Akhir Tahun 3 Hijrah
Tempat           : Qardah

Operasi ini merupakan operasi terakhir dan operasi yang paling berjaya dilakukan oleh orang Islam sebelum Peperangan Uhud. Peristiwa ini berlaku pada bulan Jamadil Akhir Tahun 3 Hijrah dan disertai oleh seratus tentera berkenderaan yang dipimpin oleh Zaid bin Harithah Al-Kalbi. Serangan ini berlaku kerana Nabi s.a.w. mendapat khabar bahawa angkatan dagang Quraish yang diketuai oleh Safwan bin Umayyah akan melakukan urusan perdagangan di Syam. Lantas Nabi terus menyediakan angkatan tentera untuk menghalang perdagangan tersebut berlaku. Zaid berjaya menghalang perjalanan kafilah tersebut semasa kafilah tersebut singgah di mata air di Najlah yang dikenali dengan nama Qardah. Zaid berjaya menguasai semua barang-barang dagangan yang dianggarkan bernilai seratus ribu dirham dan menawan dua orang termasuklah penunjuk jalan iaitu Farrat bin Hayyan. Manakala Safwan  dan pengikutnya berjaya melarikan diri tanpa menentang sedikitpun.

4. SARIYYAH ABDULLAH BIN JAHSY AL-ASADI


Masa              : Rejab Tahun 2 Hijrah / Januari 624 Masihi
Tempat           : Nakhlah

Penyerbuan Abdullah bin Jahsy Al-Asadi ke Nakhlah pada bulan Rejab Tahun 2 Hijrah bersamaan Januari 624 M. Rasulullah mengutus Abdullah bin Jahsy bersama 12 orang lelaki muhajirin yang mana setiap dua orang bergilir-gilir menunggang seekor unta. Dalam operasi ini, Rasulullah telah memberikan sepucuk surat dan mengarahkan supaya jangan dibacanya sehingga telah berjalan selama dua hari.
Setelah dua hari berjalan, Abdullah pun membukanya, di dalamnya tertulis: “Apabila engkau membaca suratku ini maka teruslah berjalan hingga sampai ke Nakhlah dan intiplah rombongan dagang Quraish dan kumpulkan maklumat mereka”.
Kemudian Abdullah berkata : “Saya dengar dan patuh”.
Kemudian beliau memberitahu kepada sahabat lain tentang isi kandungan surat itu dan beliau tidak memaksa mereka untuk ikut serta.  Sesiapa yang mahu syahid boleh megikut beliau, manakala sesiapa yang takut mati boleh pulang.
Katanya: “Aku sendiri akan pergi”.
Lalu mereka semua mengikutnya tetapi di pertengahan jalan Saad bin Abi Waqqas dan Utbah bin Ghazwan kehilangan unta mereka, lantaran itu mereka berdua terpaksa berpatah balik untuk mencarinya. Sementara yang lain tetap meneruskan perjalanan sehingga sampai ke Nakhlah. Di situ ada satu rombongan dagang Quraish yang lalu dengan membawa pelbagai barang dagangan. Dalam rombongan itu terdapat Amru bin Al-Hadrami, Uthman bin Abdullah bin Al-Mughirah dan Nawfal bin Abdullah bin Al-Mughirah dan Al-Hakam bin Kaisan (khadam Bani Al-Mughirah).
Pasukan Islam pun berbincang sesama mereka. Lalu ada yang berkata: “Kita sekarang berada pada hari terakhir bulan Rejab iaitu bulan haram berperang, kalau kita memerangi mereka bererti kita menceroboh bulan haram, tetapi kalau kita biarkan, mereka akan terlepas memasuki kota mekah”.
Akhirnya mereka bersetuju untuk bertempur.  Lalu seorang tentera Islam memanah  Amru bin Al-Hadrami hingga mati, dan mereka juga menawan Uthman dan Al-Hakam, manakala Nawfal terlepas. Kemudian tentera Islam membawa pulang barang dagangan itu dan dua orang tawanan ke Madinah. Mereka juga telah membahagikan harta rampasan itu kepada semua tentera manakala satu perlima lagi dibawa pulang untuk diberikan kepada Baginda Nabi. Itulah harta rampasan perang yang pertama, korban perang yang pertama, dan dua tawanan yang pertama dalam islam.
Rasulullah tidak menyetujui peperangan ini kerana baginda tdak menyuruh berperang dalam bulan haram. Baginda menangguhkan urusan terhadap harta rampasan dan dua tawanan tersebut. Kejadian itu telah menyebabkan orang musyrikin menuduh orang Islam menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah. Ianya menjadi buah mulut di sana sini sehingga turunnya wahyu oleh Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 217.
Selepas peristiwa itu, nabi membebaskan dua tawanan tersebut dan membayar diat mangsa kepada keluarga yang terbunuh itu.

3. SARIYYAH SAAD BIN ABU WAQQASH


Masa              : Zulkaedah 1 Hijrah / Mei 623 Masihi
Tempat           : Al-Kharrar

Penyerbuan Saad bin Abu Waqqash ke Al-Kharrar pada bulan Zulkaedah 1 Hijrah bersamaan Mei 623 M. Rasulullah Mengutuskan Saad bin Abu Waqqash bersama dua puluh anggota berkenderaan untuk menyekat rombongan dagang Quraish. Baginda berpesan kepada Saad supaya jangan melepasi Al-Kharrar. Lalu mereka pun keluar  sembunyi-sembunyi pada siang hari dan berjalan pantas pada malam hari sehingga sampai di Al-Kharrar pada hari Khamis tetapi mereka mendapati rombongan dagang itu baru sahaja berlepas semalam. Bendera pasukan Saad r.a. berwarna putih dipegang oleh Al-Miqdad Bin Amru.

2. SARIYYAH OLEH UBAIDAH BIN AL-HARITH BIN AL-MUTALIB


Masa              : Syawal 1 Hijrah / April 623 Masihi
Tempat           : Batni Rabigh

Rasulullah mengutuskan  Ubaidah bin Al-Harith bin Al-Mutalib bersama enam puluh orang muhajirin yang berkenderaan pada Syawal 1 Hijrah bersamaan April 623 M. Mereka telah terserempak dengan Abu Sufian yang membawa bersamanya dua ratus orang tentera di Batni Rabigh. Kedua-dua pihak saling berbalas panah tetapi tidak berlaku pertembungan. Dalam operasi ini dua orang tentera Abu Sufian telah menyertai umat Islam. Mereka ialah Al-Miqdad bin Amru Al-Bahrani dan Utbah bin Ghazwan Al-Mazini. Mereka ini sebenarnya telah masuk Islam tetapi keluar bersama orang-orang kafir untuk mendapat peluang berhubung dengan orang-orang Islam. Bendera yang dibawa oleh Ubaidah berwarna putih dan dipegang oleh Mistah Ibnu Athathah bin Abd Al-Mutalib bin Abd Manaf.

1. SARIYYAH OLEH HAMZAH BIN ABDUL MUTALIB


Masa              : Bulan Ramadan 1 Hijrah / Mac 623 Masihi
Tempat           : Pantai Laut di Daerah Al-‘Ays

Penyerbuan Hamzah ke Pantai Laut di Daerah Al-‘Ays.  Operasi ini berlaku pada. bulan Ramadan 1 Hijrah / Mac 623 Masihi. Rasulullah melantik Hamzah bin Abdul Mutalib untuk mengetuai tiga puluh orang lelaki muhajirin bagi menyekat rombongan perdagangan Quraish yang datang dari Syam. Dalam rombongan itu, ada Abu Jahal bin Hisham bersama tiga ratus orang lelaki. Pasukan Islam sampai di Saif Al-Bahri dari arah Al-‘Ays, lalu bertembunglah mereka dan mereka bersiap untuk berperang, tetapi Majdi bin Amru Al-Juhani (sekutu bagi kedua-dua belah pihak telah memainkan peranannya bertemu kedua-dua pihak sehingga berjaya menghalang mereka daripada berperang. Berdera yang dibawa oleh Hamzah merupakan bendera pertama yang dilancarkan oleh Rasulullah, iaitu bendera berwarna putih. Pemegang bendera itu ialah Abu Marthad Kannaz bin Husain Al-Ghanawi.

Thursday, 4 April 2013

28- PERANG TABUK



         Masa           :Bulan Rejab, tahun ke-9H
        Tempat        :Tabuk  (Destinasi padang pasir yang terlalu jauh menyukar 
                            para musafir)

Perang Tabuk terjadi pada bulan Rejab tahun ke-9 Hijriah. Perang ini merupakan peperangan terakhir yang disertai oleh Nabi. Perang Tabuk dijalankan pada musim panas yang terik di mana tanaman berbuah dan merimbun sedangkan jarak yang ditempuh masih jauh.

Empayar Rom merupakan sebuah kerajaan yang besar dan kuat ketika itu dan selalu mencapai kemenangan apabila berperang. Akibat kekuatan tentera Rom yang semakin kuat dan gagah, Maharaja Rom ketika itu berasa mereka perlu mengembangkan pengaruhya sehingga ke negeri-negeri Arab. Disamping itu mereka mendapat khabar yang memberitakan sebuah kerajaan baru yang digelar Islam sedang mula meluaskan sayapnya di seluruh tanah Arab. Lalu Maharaja Rom berhasrat besar untuk menyerang wilayah-wilayah yang dikuasai oleh Nabi Muhammad ketika itu. Rasulullah telah mendapat berita berkenaan keinginan Maharaja Rom itu. Kaum Islam ketika itu tidak berhasrat sama sekali untuk mengadakan pertempuran dengan kerajaan Rom kerana mereka berhasrat untuk meneruskan kehidupan harmoni dan tenteram di bawah pemerintahan Rasulullah. Walau bagaimanapun kaum Muslimin perlulah bersiap sedia dalam menghadapi apa-apa propaganda dari musuh Islam. Telah menjadi suatu kebiasan bagi kaum beriman,untuk menanggung perbelanjaan perang dan membantu membantu modal kewangan masyarakat Islam bersama. Hartawan Islam terulung iaitu Uthman bin Affan telah mendermakan sebanyak 1,000 dinar untuk menanggung segala kos persiapan peperangan, kos senjata, ubat-ubatan dan makan serta minuman bagi angkatan tentera Islam.

Nabi berangkat dengan jumlah pasukannya seramai 30 000 orang tentera  termasuk 10,000 dari angkatan berkuda menuju ke Tabuk. Pasukan inilah yang terbesar yang diikuti oleh Nabi. Pasukan ini merentasi daerah Hijr iaitu perkampungan kaum Tsamud. Nabi menerangkan kepada tenteranya bahawa daerah inilah yang mendapat bencana dari Allah. Dalam perjalanan menuju ke Tabuk, orang Islam telah diuji oleh Allah dengan kekurangan air dan cuaca yang terlalu panas. Tentera Islam mengadukan hal ini kepada Muhammad Rasulullah, lalu sejurus itu Rasulullah berdoa kepada Allah. Lalu Allah memakbulkan permintaan Rasulnya dengan menurunkan hujan yang lebat sehinggakan orang Islam dapat minum dan mandi dengan sepuas-puasnya.

Setelah Nabi sampai di Tabuk, Yohanna bin Ru’bah, penguasa Ailah datang berjumpa dengan Nabi. Nabi mengadakan pendamaian dengan dia dan dia menyanggupi untuk membayar jizyah. Kemudian, datang pula penduduk Jarbaa’ dan Azdra. Kepada mereka Nabi menulis surat yang menjamin keamanan mereka. Akhirnya, Nabi mendapat berita bahawa pasukan Rom mundur yang menandakan bahawa tidak ada niat mereka untuk menyerang. Nabi berpendapat bahawa dengan kemunduran mereka, perang Tabuk sudah dicapai. Setelah segala-galanya selesai tentera Islam berjalan pulang ke Madinah dengan selamatnya tanpa seorang pun yang terkorban nyawa. Tentera Islam berada di Tabuk selama 20 hari.