Thursday, 4 April 2013

25. PERANG PENAKLUKAN KOTA MEKAH



       Masa                     :Bulan Ramadhan
       Tempat                 :Kota Mekah
       Kekuatan              :10 000 orang Islam

Antara sebab-sebab berlakunya penaklukan kota Mekah ialah kaum Quraisy telah mengingkari perjanjian Hudaibiyah  dan mengundang kaum Muslimin untuk memberikan hukuman kepada mereka. Untuk mengetahui kebenaran tentang keingkaran tersebut, baginda mengutus seseorang untuk memberikan salah satu pilihan bagi kaum Quraisy dari tiga pilihan. Pertama, dituntut membayar Diyah (penebusan harga darah) terhadap suku Khuza’ah yang terbunuh. Kedua,dituntut untuk mengutuk perbuatan suku Banu Bakar. Ketika dituntut berperang. Akhirnya, kaum Quraisy memilih untuk berperang.

Sebenarnya kaum Quraisy berasa takut akan akibat perbuatan mereka. Oleh sebab itu, mereka mengutus Abu Sufyan menemui Nabi untuk memperbaharui perjanjian. Sesampai Abu Sufyan di Madinah, beliau segera menuju ke rumah puterinya, Ummu Habibah (isteri Nabi). Abu Sufyan berusaha mengajak Nabi kearah pendamaian. Namun, Rasulullah tidak memberi sebarang balasan. Kemudian, Abu Sufyan memujuk Abu Bakar, Umar, Ali dan Fathimah. Mereka sedikit tidak dapat memberi sebarang tanggapan. Ketika Ali melihat Abu Sufyan putus asa, beliau berkata kepada Abu Sufyan supaya memberi perlindungan (al-Jiwar) kepada semua orang dan kemudian baliklah ke negeri sendiri. Kemudian, mereka segera menunggang kenderaan dan menuju ke kota Mekah.

Ketika dalam perjalanan, mereka berhenti di suatu tempat berdekatan Mekah (Marra Dhahran). Sedangkan kaum Quraisy pada waktu itu, tidak mengetahui tentang keberangkatan kaum Muslimin. Mereka hanya kuatir dan menunggu dari jauh. Pada waktu malam, Nabi memerintahkan seluruh pasukannya untuk menyalakan api unggun yang besar. Ketika itu Abu Sufyan keluar untuk memerhati keadaan sekeliling dan ketika itu beliau melihat unggun api yang besar yang tidak pernah dilihat. Abbas bin Abdul Muthalib sebelumnya telah meninggalkan kota Mekah dan berhijrah ke Madinah untuk memeluk Islam. Ketika beliau mendengar suara Abu Sufyan, lantas beliau berkata itu adalah Rasulullah dan pasukannya. Pada malam itu, Abu Sufyan diboncengkan di belakang Abbas dan dibawa ke hadapan Nabi dengan menyelinap kerana takut diketahui kaum Muslimin yang ingin membunuh Abu Sufyan. Tidak lama kemudian, Abu Sufyan menyatakan keislamannya di hadapan Nabi.

Di hari penaklukan kota Mekah, Nabi memberikan pengampunan dan keamanan kepada semua orang. Sehingga tidak ada seorang pun yang  terbunuh kecuali orang yang mengadakan perlawanan. Di hari itu, Nabi melarang semua tenteranya untuk menggunakan senjata kepada siapapun kecuali orang yang mengadakan perlawanan. Sengaja Nabi memerintahkan Abbas bin Abdul Muthalib untuk mendudukkan Abu Sufyan agar dapat melihat tentera Islam yang bergerak bagaikan ombak yang menghempas. Sampai kepada barisan Nabi, Abu Sufyan terpegun dengan barisan baginda disebabkan cahaya kenabian. Lalu, Rasulullah berteriak bahawa sesiapa yang masuk ke rumahnya dan masjid akan aman.
Rasulullah memasuki kota Mekah dengan penuh rasa tawadhu’ serta menundukkan kepalanya sebagai tanda kesyukuran kepada Allah atas kemenangan yang dikurniakan. Baginda memasuki kota Mekah pada pagi hari Jumaat di hari kesepuluh bulan Ramadhan tahun delapan Hijriah. Ketika itu juga, ada segolongan kaum Quraisy yang dipimpin oleh Shafwan bin Umyah, Ikrimah bin Abu Jahal dan Suhail bin Amru mengadakan perlawanan. Untuk itu, Nabi mengutuskan Khalid bin al-Walid untuk mengetuai pasukan Islam. Dalam pertempuran itu, banyak tentera Quraisy yang terbunuh sehingga mereka terpaksa mundur.

Setelah berjaya memasuki kota Mekah dengan aman, Rasulullah segera menuju ke Ka’abah untuk bertawaf. Di tangan baginda terdapat busur panah. Di sekitar Ka’abah pada waktu itu terdapat sebanyak tiga ratus enam puluh berhala. Nabi menyodok berhala-berhala itu dengan busur panahnya satu persatu. Setelah Nabi selesai tawaf, baginda meminta kunci Ka’abah dari Uthman bin Talhah. Kemudian, pintu Ka’abah dibuka dan baginda segera masuk ke dalamnya.

Nabi membuka pintu Ka’abah sedangkan kaum Quraisy waktu itu berada di dalam Masjidil Haram. Mereka tertunggu-tunggu apakah yang akan dilakukan oleh Nabi. Nabi naik ke pintu Ka’abah dan berpegang kepada dua penyanggah pintu Ka’abah sambil berkata, “Tidak ada Tuhan selain Allah yang Tunggal dan tidak bersekutu baginya. Dialah (Allah) yang telah menepati janjiNya, memenangkan hambaNya dan mengalahkan musuh-musuh sendirian. Sesungguhnya segala macam balas dendam, harta dan darah semuanya berada di bawah kedua kakiku ini kecuali penjaga Ka’abah dan pemberi air minum kepada jamaah Nabi.”
Selanjutnya, Nabi menyuruh Bilal untuk naik azan di atas Ka’abah. Semua pemuka bangsa Quraisy mendengar kalimat Tauhid sedang berkumandang lantang di tengah kota Mekah. Sejurus selepas itu, Nabi menuju ke rumah Ummu Hani binti Abi Talib untuk mandi dan kemudian solat lapan rakaat untuk menyatakan kesyukuran atas kemenangan yang diperoleh.
Setelah penaklukan kota Mekah berjalan dengan lancar, Nabi memberi maaf kepada seluruh penduduk kota Mekah kecuali sembilan orang musuhnya yang terbesar. Baginda menyuruh para sahabatnya membunuh mereka walaupun mereka berlindung di bawah kelambu Ka’abah. Ikrimah bin Abu Jahal adalah salah seorang yang diperintahkan oleh Nabi untuk dibunuh. Ketika berlaku pembukaan kota Mekah, beliau mengadakan pergaduhan. Kemudian, beliau lari ke Yaman kerana benci dengan berdirinya negara Islam. Nabi sedia memaafkannya asalkan dia datang kepada Nabi. Ketika Ikrimah datang, Nabi menyambutnya dengan senang hati. Dia menyatakan keislamannya di hadapan baginda dan termasuk dalam kalangan orang yang baik dalam Islam.

Nabi juga memberi maaf kepada Wahsyi iaitu seseorang yang telah membunuh Hamzah bin Abdul Mutalib setelah dia datang kepada Nabi untuk menyatakan keislamannya. Begitu juga dengan Hindun binti Utbah. Semasa Nabi memberi baiah kepada penduduk Mekah, beliau datang dengan malu mengingat kekejamannya terhadap Hamzah bin Abdul Mutalib di perang Uhud.

Nabi mengutus tenteranya untuk menghancurkan berhala-berhala dan patung-patung yang terdapat di sekitar Ka’abah termasuklah patung yang bernama Uzza, Lata dan Manath. Penaklukan kota Mekah  banyak membawa pengaruh di hati bangsa Quraisy.  Banyak dari bangsa Arab yang dibukakan hatinya untuk memeluk Islam.

No comments:

Post a Comment