Thursday, 4 April 2013

16- PERANG KHANDAK (PERANG AL-AHZAB)



         Masa                     :Bulan Syawal, 5H
        Syahid                    :7 orang

Perang penting dalam umat Islam kerana ia merupakan titik penentuan kelanjutan agama Islam. Sebahagian pemuda Yahudi Banu Nadhir dan Banu Wa’il datang kepada bangsa Quraisy di Mekah untuk memujuk mereka memerangi Rasulullah SAW. Mereka juga turut menghasut Banu Ghatfan untuk tujuan yang sama. Hasilnya, kaum Quraisy keluar dengan tentera sebanyak empat ribu orang sedangkan Banu Ghatfan keluar dengan pasukannya sebanyak enam ribu orang. Pimpinan tertinggi dipegang oleh Abu Sufian Bin Harb.

Ketika Rasulullah mendengar berita tersebut, baginda menyuruh kaum Muslimin untuk mengadakan persiapan perang dan membuat pertahanan dalam kota Madinah. Jumlah tentera Muslimin hanyalah sebanyak tiga ribu orang sahaja. Dalam kesempatan itulah, Salman al-Farasi mengisyaratkan agar membuat Khandak/parit disekitar kota Madinah. Cadangan itu diterima oleh Rasulullah lalu baginda membahagi tugasan menggali parit itu pada setiap sepuluh orang sahabat ditugaskan untuk menggali empat puluh hasta.

Pada waktu penggalian, ada mukjizat Nabi yang timbul iaitu ketika kaum Muslimin mendapat kesukaran untuk menghancurkan bongkahan batu keras. Nabi menyuruh untuk mendapatkan sebejana air. Kemudian, Nabi meludah pada air itu dan baginda berdoa pada Allah. Ketika air itu disiram pada bongkahan batu tersebut, maka batu itu segera hancur sehingga menjadi pasir. Mukjizat Nabi yang lain ialah timbulnya berkat pada makanan sedikit yang dapat mengenyangkan seluruh ahli pasukan.

Kemudian, datanglah kaum Quraisy dengan pasukannya yang berjumlah sepuluh ribu. Nabi turut keluar bersama pasukannya sebanyak  tiga ribu orang. Antara kedua pasukan itu hanya dipisahkan oleh sebuah parit yang digali oleh Muslimin. Antara kedua pasukan itu tidak terjadi peperangan besar selain beberapa orang Quraisy yang berusaha menyeberangi parit pemisah dengan kuda mereka. Kemudian, mereka mencari jarak yang dekat untuk menyeberangi parit tersebut. Salah seorang yang berjaya ialah Amri bin Abdu Wudin. Ketika ia sampai dekat dengan barisan Muslimin, beliau berteriak untuk berperang. Kemudian Ali menawarkannya untuk bertanding dan akhirnya Ali bin Abi Talib berjaya membunuhnya.

Pasukan Musyrikin mengadakan pengepungan terhadap pasukan Islam dengan ketat sekali. Mereka mengadakan pengepungan itu hampir sebulan dari segala penjuru. Kita Rasulullah dan sahabatnya dikecam dengan perasaan takut, tiba-tiba datanglah seseorang yang bernama Nuaim bin Mas’ud dan berkata kepada Rasulullah,“Ya Rasulullah, sesungguhnya aku telah memeluk Islam dan kaumku tidak tahu akan keislamanku. Kerana itu perintahkan kepadaku sesukamu.”

Kemudian, Nuaim bin Mas’ud menjalankan muslihatnya. Beliau datang kepada kaum Yahudi Banu Quraiza untuk membuat keraguan di hati kaum mereka tentang keikhlasan kaum Quraisy dan Banu Ghatfan untuk berperang. Begitu juga kepada kaum Quraisy dan Banu Ghatfan. Beliau berkata bahawa kaum Yahudi menyesal atas perjanjian yang dibuat dengan kaum Quraissy dan mereka pasti akan minta beberapa orang yang terkemuka sebagai tanggungan buat mereka agar dapat diserahkan kepada Nabi dan kaum Muslimin untuk dibunuh.

Dengan itu kaum Quraisy dan Banu Ghatfan merasa yakin dengan apa yang dikatakan oleh Nuaim bin Mas’ud. Kerana itu, mereka tidak bersedia untuk memenuhi permintaan kaum Yahudi. Demikian juga kaum Yahudi yang yakin dengan kata-kata Nuaim bin Mas’ud sehingga kedua belah pihak saling mencela dan berpecah belah. Allah menolong Nabi Muhammad SAW dengan mengirimkan angin yang dingin yang menghembus pasukan musahnya sehingga memporak-porandakan khemah-khemah mereka. Kemudian, Abu Sufian menunggangi untanya dan berlalu pergi. Ketika kaum Ghatfan mendengar berita pemergian kaum Quraisy lalu mereka pun segera pulang ke tempat asal. Pada pagi harinya, Nabi bersama pasukannya segera meninggalkan medan Khandak menuju Madinah untuk meletakkan senjatanya.

Peperangan ini berakhir dengan pemergian bangsa Quraisy untuk selama-lamanya dan mereka tidak pernah datang lagi untuk memerangi kaum Muslimin.

No comments:

Post a Comment