Thursday, 4 April 2013

20- PERANG BANI AL-MUSTHALIQ



       Masa                     :Bulan Sya’aban, 6H
       Tempat                 :Al-Muraisi’

Pada bulan Sya’aban, Nabi mendapat tahu bahawa kaum Banu Musthaliq telah bersiap sedia untuk memerangi kaum Muslimin. Nabi keluar bersama tenteranya untuk memerangi mereka. Sebahagian besar kaum Munafiqin di bawah kepimpinan Abdullah bin Ubay turut keluar bersama tentera Islam. Pada masa itu kekuatan kaum Muslimin makin meningkat dan ini telah menjadikan kaum Quraisy, kaum Yahudi menjadi takut. Oleh kerana itu, mereka berusaha untuk merosakkan barisan tentera Islam dengan jalan menghidupkan rasa kesukuan di antara kaum Muslimin dengan cara menyiarkan berita bohong tentang peribadi Nabi dan isteri yang paling baginda cintai.

Nabi keluar menuju ke tempat Banu Musthaliq dan berjumpa dengan mereka disuatu tempat bernama al-Muraisi’. Di sinilah terjadinya peperangan dan kekalahan berpihak kepada Banu Musthaliq. Nabi meneruskan perjalanannya dan berhenti pada suatu tempat kerana tiada seorang pun yang dapat menahan rasa mengantuk. Biasanya jika Nabi hendak keluar, baginda akan mengundi para isterinya dan siapa yang terpilih akan ikut menyertainya. Waktu itu Siti Aisyah bt Abu Bakat telah terpilih untuk menemani baginda dalam perang Banu Musthaliq. Ketika dalam perjalanan pulang, mereka beristirahat  sebahagian malam. Sewaktu kaum Muslimin beristirahat, Siti Aisyah keluar untuk berhajat sambil memakai kalung di lehernya. Namun, waktu kembali dia kehilangan kalung tersebut dan keluar untuk mencarinya. Ketika Siti Aisyah kembali, dia mendapati rombongannya telah pergi. Oleh itu, Siti Aisyah berbaring di situ sehingga ada orang mencarinya.

Tiba-tiba, Shafwan bin Mu’athal melalui tempat itu kerana beliau juga tertinggal rombongan itu. Kemudian, mereka segera menuju ke rombongan tersebut. Siti Aisyah menunggang unta manakala Shafwan bin Mu’athal menuntun tali unta. Mereka sampai di pagi hari ketika di Madinah. Kejadian ini banyak mengundang perhatian orang. Abdullah bin Ubay tidak berhenti membicarakannya.  Sengaja pembicaraan ini dilakukan untuk menimbulkan api fitnah di kalangan kaum Muslimin.

Sebahagian kaum Aus marah dan mereka menyatakan kesediaan untuk membunuh orang yang telah memperbesar-besarkan berita ini sama ada dari kalangan kaum Aus atau kaum Khazraj. Abdullah bin Ubay berasal dari kaum Khazraj. Oleh itu, sebahagian kaum Khazraj berasa tersinggung dengan pernyataan kaum Aus dan hampir sahaja mereka berperang. Lalu, Allah menurunkan ayat yang menerangkan kesucian diri Siti Aisyah dari tuduhan kaum Munafiqin. Keadaan kembali seperti sedia kala.

No comments:

Post a Comment