Masa :
Rabiul Awal tahun 9 Hijrah
Tempat : Tayyi
Operasi Ali bin Abu
Talib ke Tayyi untuk memusnahkan berhala yang bernama al-Qalas pada bulan
Rabiul Awal tahun 9 Hijrah. Rasulullah s.a.w. mengutuskan bersama seratus lima
puluh anggota yang menunggang seratus ekor unta dan lima puluh ekor kuda. Ali
membawa bersamanya bendera hitam putih. Mereka telah melancarkan serangan ke
atas perkampungan Hatim pada waktu subuh.
Mereka berjaya meruntuhkan berhala itu dan membawa pulang ramai tawanan serta
kambing dan unta. Dalam kalangan orang tawanan itu terdapat seorang saudara
perempuan Adiy bin Hatim, sementara Adiy melarikan diri ke Syam. Tentera Islam menemui
dalam khazanah berhala al-Qalas itu tiga bilah pedang dan tiga baju besi. Dalam
perjalanan pulang mereka telah membahagikan harta-harta rampasan itu dan
mengasingkan harta yang terbaik untuk diserahkan kepada Rasulullah s.a.w.
Mereka tidak membahagikan tawanan-tawanan keluarga Hatim.
Setelah sampai ke
Madinah saudara perempuan ‘Adiy bin Hatim meminta simpati Rasulullah s.a.w.
dengan katanya : “Wahai Rasulullah, telah hilang tempat berlindung kami dan
telah putus hubungan dengan anak-anak sedangkan saya seorang wanita yang telah
tua. Saya tak berupaya menjadi khadam lagi. Maka tolonglah bebaskan saya,
mudah-mudahan Allah memberi kurnia-Nya kepadamu”. Rasulullah s.a.w.
bertanya : “Siapa pelindung kamu?”. Dia menjawab : “Adiy bin Hatim”.
Baginda berkata : “Itu orangnya yang lari daripada Allah dan Rasul-Nya?”.
Kemudian baginda meninggalkannya. Besoknya wanita itu menemui baginda dan
berkata seperti itu juga, lalu Rasulullah s.a.w. menjawabnya seperti jawapan
semalam. Lusa harinya, dia juga mengatakan perkataan yang sama, lalu Rasulullah
s.a.w. membebaskannya. Ketika itu di sebelah Rasulullah s.a.w. ada seorang
lelaki kemungkinan Ali lalu lelaki itu berkata kepada wanita tersebut :
Mintalah kepada Rasulullah s.a.w. supaya menyediakan pengusungan, lalu dia
meminta kepada Rasulullah s.a.w. pengusungan untuk membawanya. Rasulullah
s.a.w. menunaikan permintaannya. Setelah itu saudara perempuan Adiy itu pun
pulang kepada saudaranya ‘Adiy yang berada di Syam. Setelah bertemu ‘Adiy dia
menceritakan tentang peribadi Rasulullah s.a.w. dengan katanya : Dia telah
melakukan satu perbuatan yang bapamu sendiri tidak pernah melakukannya. Justeru,
pergilah bertemunya secara sukarela atau terpaksa. Lalu ‘Adiy datang kepada
Rasulullah s.a.w. tanpa membawa sebarang perlindungan keamanan dan surat
jaminan keselamatan. Dia datang ke rumah Rasulullah s.a.w. Apabila dia duduk di
hadapan Rasulullah s.a.w, Baginda memuji Allah dan mengucapkan kesyukuran ke
atas-Nya. Kemudian Baginda berkata : “Mengapa kamu lari? Kamu lari daripada
menyebutkan tiada tuhan melainkan Allah? Tahukah kamu siapa lagi tuhan selain
Allah?”. Jawab ‘Adiy : “Tidak”. Baginda berkata : “Sesungguhnya
orang-orang yang sesat”. Adiy berkata : “Sesungguhnya aku telah menjadi
seorang yang hanif dan muslim”. Lalu sinarlah wajah Rasulullah s.a.w.
keriangan, kemudian Baginda menyuruh supaya ‘Adiy ditumpangkan di rumah seorang
lelaki Ansar. Setelah itu ‘Adiy berulang alik datang kepada Rasulullah s.a.w.
pagi dan petang. Dalam riwayat Abu Ishak daripada ‘Adiy menyebutkan : Tatkala
Rasulullah s.a.w. memepersilakan ‘Adiy duduk di hadapannya semasa di dalam
rumahnya, baginda berkata kepadanya : “Ada apa, hai ‘Adiy bin Hatim,
bukankah kamu seorang penganut agama Rakusi (agama campuran Yahudi dan
Kristian)?”. ‘Adiy menjawab : “Memang benar”. Baginda bertanya lagi
: Bukankah engkau mengambil satu perempat hasil rampasan perang dari
kaummu?” Jawab ‘Adiy : “Memang benar”. Nabi berkata : “Bukankah
tindakan itu tidak dihalalkan dalam agamamu?”. ‘Adiy berkata : “Benar,
demi Allah”. Kata ‘Adiy seterusnya : lantas, aku pun tahu bahawa dia
benar-benar seorang nabi yang diutuskan kerana dia mengetahui apa yang orang
tidak tahu.
Dalam riwayat Imam Ahmad
menyebutkan : Nabi s.a.w. berkata : “Hai ‘Adiy bin Hatim, masuklah Islam
nescaya kamu selamat”. Aku pun berkata : “Aku telah mempunyai agama”.
Nabi menjawab : Aku lebih tahu daripadamu tentang agamamu”. Lalu aku
berkata : “Engkau lebih tahu daripadaku tentang agamaku?”. Baginda
menjawab : “Ya, bukankah engkau penganut agama Rakusi dan engkau mengambil
satu perempat harta rampasan kaummu?”. Lalu aku menjawab : “Bahkan”.
Nabi berkata : “itu tidak dihalalkan untukmu dalam agamamu”. Kata ‘Adiy.
Sebaik sahaja baginda menyebut kata-kata itu aku pun berserah diri kepadanya.
Al-Bukhariy meriwayatkan daripada ‘Adiy yang
berkata : Ketika aku bersama Nabi s.a.w. tiba-tiba datanglah seorang lelaki
mengadu kesusahnya kepada Nabi. Kemudian
datang seorang lagi yang mengadu terputus belanja dalam perjalanan.
Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata : “Hai ‘Adiy, pernahkah engkau melihat
negeri Hijah? Kalau umurmu panjang engkau akan dapat melihat seorang wanita
yang berada dalam tandu (usungan yang ditanggung oleh unta) datang dari Hijah
dan bertawaf di Ka’bah, dia tidak takut kepada seorang pun kecuali Allah. Kalau
umurmu masih panjang maka engkau akan berjaya membuka perbendaharaan kekayaan
Kisra. Dan kalau umurmu panjang engkau akan dapat melihat ada orang memegang
penuh di tangannya emas dan perak sambil mencari-cari orang yang mahu
menerimanya tetapi dia tidak menemui seorang pun yang sudi menerima
pemberiannya”. Di akhir hadith itu disebutkan : ‘Adiy berkata : “Aku
telah pun melihat seorang wanita di dalam tandu yang berangkat dari Hijah
sehingga masuk bertawaf di Ka’bah tanpa merasa takut kepada seorang pun kecuali
Allah, dan aku juga termasuk dalam kalangan mereka yang membuka khazanah
kekayaan Kisra di Armuz. Dan kalau kamu mendapat umur yang panjang nescaya kamu
akan melihat terbuktinya apa yang dikatakan oleh Abu al-Qasim tentang seorang
lelaki yang memegang emas dan perak penuh di tangannya.”
No comments:
Post a Comment