Masa :
Jamadilawal Tahun Ke-8 Hijrah
Tempat : Mu'tah
Peperangan Mu'tah ini
merupakan peperangan sariyyah terbesar, padanya berlaku pertempuran yang sengit
dan berat, peperangan yang berdarah, yang pernah diharungi oleh tentera Islam
khususnya semasa hayat Rasulullah s.a.w. lanya merupakan sebagai muqadimah dan
permulaan kejayaan Islam ke atas bumi-bumi Kristian atau Nasara, peristiwa ini
berlaku pada bulan Jamadilawal pada tahun ke-8 Hijrah, bersamaan bulan Ogos
atau September tahun 629 Masihi. Mu'tah merupakan sebuah kampung yang
berdekatan daerah Balqa' di negeri al-Syam. Jarak antaranya dengan Baitul
Maqadis ialah dua marhalah. Sebab berlakunya peperangan ini adalah kerana
Rasulullah menghantar utusannya al-Harith bin Umar al-Uzdi dengan sepucuk
surat kepada pembesar di daerah Basra,
tetapi Syurahbil bin Umar al-Ghassani, Gabenor Bandar Balqa' negeri al-Syam
bagi pihak Qaisar Rom telah menangkap al-Harith dan menyerahkannya kepada
Qaisar dan Qaisar pula bertindak memancung lehernya.
Pembunuhan mana-mana
utusan dan perwakilan merupakan suatu jenayah yang amat berat tindakannya
menyamai dengan pengisytiharan perang, malah lebih berat lagi daripada itu.
Tindakan itu suatu perkara yang amat berat bagi Rasulullah s.a.w, sebaik sahaja
berita mengenainya sampai kepada pengetahuan Rasulullah, Baginda terus
mengerakkan satu kontijen tentera dengan kekuatan seramai 3000 orang tentera,
ianya adalah tentera Islam yang terbanyak, yang belum pernah dikerahkan oleh
Rasulullah selain daripada peperangan al-Ahzab. Peperangan ini termasuk dalam
peperangan sariyyah kerana baginda tidak ikut serta. Pimpinan kontinjen tentera
Islam ini diserahkan kepada Zaid bin Harithah, seterusnya Rasulullah berpesan:
Sekiranya Zaid gugur maka Jaafar mengambil tempatnya dan seandainya Jaafar
turut gugur syahid, maka Abdullah bin Rawahah pula tampil mengambil teraju
kepimpinan tentera Islam, di sini Rasulullah menyerahkan mereka sebuah bendera
putih yang diberinya ke tangan Zaid bin al-Harithah. Rasulullah s.a.w memesan
mereka supaya mereka melalui kawasan di mana al-Harith bin Amir dibunuh, dan
supaya mengajak orang-orang di sana kepada Islam, sekiranya mereka berdegil
maka hendaklah memohon pertolongan daripada Allah untuk memerangi mereka dengan
ungkapan sabdanya yang bermaksud: “Ayuh! dengan Nama Allah seranglah mereka
yang kufur dengan Allah, janganlah kamu khianat atau menyamun, jangan bunuh
anak-anak kecil atau perempuan, atau tua, atau orang bertapa di biara, jangan
kamu tebang kurma-kurma atau pokok-pokok dan jangan robohkan bangunan-bangunan”.
Tentera Islam terus mara ke utara sehingga
sampai ke kawasan bernama Ma'an dalam jajahan negeri Syam iaitu di utara bumi
Hijaz, di situ mereka telah mendapati berita, bahawa Hercules sudah pun bergerak
dengan tenteranya ke tempat bernama Ma'ab di daerah al-Balqa' dengan seratus
ribu tentera Rom, kemudian turut bergabung dengannya qabilah-qabilah Arab:
Lakham, Juzam, Balqin, Bahra'a dan Bila dengan kekuatan mereka seramai seratus
ribu orang. Sebenarnya tentera Islam sedikit pun tidak menyangka bahawa mereka
akan berhadapan dengan bilangan tentera yang sebegini ramai, yang mengejutkan
itu, di suatu bumi yang jauh dari al-Madinah, tempat mereka datang, apakah
wajar tentera yang kecil bilangannya bertindak menyerang tentera yang besar bak
lautan yang tidak bertepi itu, yang seramai dua ratus ribu itu? Tentera Islam
menjadi serba salah, dua malam berturut-turut mereka memikirkan tindakan
selanjutnya, selepas itu kata mereka: kita tulis surat kepada Rasulullah,
menceritakan kepada Baginda bilangan musuh kita, lepas itu mungkin Rasulullah
menghantar bantuan atau menyuruh kita dengan sesuatu arahan yang akan kita
patuhinya. Tetapi Abdullah bin Rawahah membangkang pendapat tersebut dengan
katanya: Wahai kalian, demi Allah sesungguhnya yang kamu tidak suka, itulah
sebenarnya yang kamu semua keluar kerananya, mati syahid, kita tidak memerangi
manusia dengan bilangan kita yang banyak atau dengan kekuatan dan persenjataan,
kita tidak memerangi mereka kecuali dengan agama ini yang dikurniakan oleh
Allah kepada kita sehingga kita menjadi mulia, ayuh marilah kamu ke hadapan
ambillah salah satu kebaikan: Kemenangan mengatasi seteru atau mati
syahid.
Akhirnya sekalian mereka
pun bersetuju dan berpuas hati dengan pendapat Abdullah bin Rawahah. Setelah
dua malam berturut-turut tentera Islam bermesyuarat, di mana berakhir dengan
persetujuan menerima pendapat Abdullah bin Rawahah, justeru itu seluruh tentera
Islam pun bergerak ke arah musuh. Di salah sebuah kampung Balqa' mereka
bertembung dengan sekumpulan tentera Hercules di tempat bernama Masyarif.
Tentera musuh cuba menghampiri mereka, tetapi tentera Islam membelok ke suatu
kawasan dikenali sebagai Mu'tah di sana mereka mengambil tempat dan menyusun
strategi, unit kanan diletak dibawah pimpinan Qutbah bin Qutadah al-Uzri
manakala unit kiri di bawah pimpinan Ubadah bin Malik al-Ansari. Di bumi Mu'tah
kedua-dua kumpulan bertemu, peperangan sengit pun bermula, tiga ribu tentera
menghadapi serangan dua ratus ribu tentera. Satu peperangan luar biasa yang
pernah dunia saksikannya dengan kehairanan dan keajaiban, tetapi inilah yang
dikatakan: Apabila iman menyemarak dijiwa, maka berlakulah perkara-perkara luar
biasa".
Panji peperangan pun
dipegang oleh Zaid bin Harithah orang kesayangan Rasulullah s.a.w. Beliau
merempuh serangan musuh penuh keberanian tiada tara, terus beliau mengasak
hinggalah beliau terkena tikaman musuh, membawa beliau terkorban sebagai
seorang syahid. Dengan itu panji Islam terus diambil oleh Jaafar bin Abi Talib,
beliau pun tidak kurang dari Zaid bin Harithah, hingga apabila beliau terasa
berat berperang dengan kuda, beliau melompat dari kudanya yang berwarna perang
itu lantas disembelihnya, kini beliau bertempur di bawah, hingga apabila tangan
kanannya terputus maka panji Islam itu dipegang dengan tangan kirinya, dan
setelah tangan kirinya terpotong pula, lalu diapit bendera itu dengan dua belah
lengannya. Dengan keadaan begini beliau terus menjulang bendera Islam hinggalah
beliau gugur syahid, ada pula pendapat mengatakan yang beliau telah ditetak
oleh seorang Roman hingga terputus dua, dan kemudian Allah menggantikannya
dengan dua sayap yang memboleh beliau berterbangan di dalam syurga Allah, ke
mana sahaja yang beliau mahu, kerana itu beliau dikenali sebagai Jaafar
al-Tayyar dan Jaafar zul al-Janahain. Al-Bukhari meriwayatkan dari Nafi' bahawa
Ibnu Umar telah menceritakan kepadanya semasa beliau mendapati Jaafar telah
syahid, dibadannya terdapat kesan-kesan pukulan dan tikaman sebanyak lima puluh
bekas, tidak ada satu pun di sebelah belakangnya yang tidak mempunyai bekas. Di
dalam satu riwayat yang lain kata Ibnu Umar: Ku bersama mereka di dalam
peperangan berkenaan, kami mencari Jaafar, kami dapati beliau di antara yang
terbunuh syahid, kami melihat pada jasadnya lebih sembilan puluh lubang tikaman
dan tetakan yang telah disebut dalam riwayat al-Umri dari Nafi'. Dan kami telah
mendapati kesemuanya itu dari sebelah hadapan jasadnya. Ketika Jaafar gugur
selepas pertarungan yang sengit itu maka bendera Islam dicapai oleh Abdullah
bin Rawahah, dengan itu beliau pun terus memecut kudanya mara ke hadapan,
beliau teragak-agak untuk turun dari kudanya, hinggalah keadaan memaksa beliau.
Beliau melompat turun, kemudian anak saudaranya menghadiahkan seketul daging
dengan berkata: Makanlah buat menguatkan badanmu, hari ini kau menghadapi
keadaan yang sama yang pernah kau alaminya. Beliau mengambilnya dan mengigit
secebis kemudian beliau membuangnya. Lantas beliau menghunus pedangnya sambil
mara ke hadapan dan terus bertarung hingga gugur sebagai syahid. Serta merta
seorang askar dari Banu 'Ijlan dikenali sebagai Thabit bin Arqam memegang
bendera Islam sambil melaung: Wahai kalian tentera Islam, pilihiah seorang
di antara kamu untuk tugas ini. Jawab tentera lain: Kamulah orangnya,
kata Thabit: Aku tak bolehlah, akhirnya orang ramai bersetuju dengan
Khalid bin al-Walid. Apabila beliau memegang bendera terus beliau mengharungi
kancah pertempuran yang sedang sengit. Al-Bukhari meriwayatkan dari Khalid
al-Walid katanya: Di hari Mu'tah itu sembilan bilah pedang telah terpatah di
tanganku, yang kekal dan dapat bertahan hingga ke akhir peperangan hanya pedang
Yamaniah. Dalam lafaz yang lain katanya: Di hari Mu'tah sahaja sembilan
bilah pedang terpatah di dalam tangan ku, yang tahan hanya pedang Yamaniah ku.
Dalam peristiwa Mu'tah itu Rasulullah telah menceritakan kepada sahabat melalui
wahyu yang diturunkan kepada Baginda, sebelum beritanya dibawa orang dari medan
perang. Sabdanya yang bermaksud: Bendera dibawa oleh Zaid, beliau jatuh kemudian
ianya diambil oleh Jaafar dan beliau jatuh lantas diambil oleh Ibni Rawahah,
Ibnu Rawahah pun gugur, di masa itu Rasulullah berlenang air mata hinggalah
bendera Islam dicapai oleh Pedang Allah maka dengannya pembukaan pun selamat
terlaksana. Meskipun keberanian yang luar biasa dan kepahlawanan yang tiada
tara bandingannya, namun ianya adalah suatu hal yang luar biasa juga, bagi
sekumpulan tentera yang bilangannya kecil berbanding dengan tentera musuh yang
ramai hingga menutupi bumi Mu'tah, memang luar biasa baginya untuk memenangi
tentera Roman.
Di dalam kegawatan
suasana itu, Khalid bin al-Walid telah memperlihatkan kecekapannya malah
kebijaksanaannya untuk keluar dari keadaan yang cemas di mana mereka tersepit
di dalam kancah pertempuran yang tidak diduga. Beberapa riwayat yang berbagai,
telah menceritakan khusus mengenai kesudahan peperangan ini. Setelah kita
meneliti kesemua riwayat ini, nampaknya Khalid bin al-Walid berjaya berhadapan
dengan tentera Roman sepanjang hari. Sepanjang pengendalian, beliau merasakan
amat perlu kepada satu taktik dan tipu helah peperangan untuk menimbulkan
kegerunan dalam kalangan tentera Roman, supaya dengannya dapat beliau
melepaskan dan membawa keluar tentera Islam dari kancah peperangan. Pada masa
yang sama tidak membiarkan tentera Roman memburu mereka. Sebenarnya beliau amat
arif bahawa peluang untuk melepaskan tentera Islam daripada suasana yang
dihadapinya itu amat tipis, terutamanya dalam keadaan umat Islam berkecamuk
malah pihak Roman pasti akan memburu mereka dari belakang. Sebagai tindakan
kepada rancangannya itu, sebaik sahaja subuh menjelang beliau menukar posisi
tentera, dan menyusun semula kedudukan tentera Islam, dengan mengubah barisan
hadapan ke belakang yang kiri ke kanan dan sebaliknya.
Apabila tentera Roman
melihat penyusunan baru mereka menyangka suatu keadaan lain, mereka menyangka
bahawa tentera Islam mendapat bantuan, mereka mula merasa takut dan gerun,
setelah mana kedua-dua tentera berhadapan, pertempuran pun bermula, di sini
Khalid bertindak berundur perlahan-perlahan ke belakang di samping mengekalkan
sistem dan struktur tentera semasa mereka berundur, tentera Roman tidak pula
memburu mereka kerana pada sangkaan mereka bahawa .tentera Islam mengunakan
taktik untuk memerangkap mereka di gurun padang pasir luas saujana mata
memandang itu.
Beginilah caranya hingga
pihak musuh pulang ke negaranya tanpa memikir untuk memburu kaum muslimin,
dengan itu berjayalah Khalid untuk melepaskan tentera Islam dari ancaman,
cengkaman dan buruan tentera Rom, akhirnya selamatlah mereka pulang ke Madinah.
Seramai dua belas orang
tentera Islam gugur syahid manakala bilangan tentera Roman tidak diketahui
dengan sebenarnya, Walau macam mana pun dianggarkan angka kematian adalah
tinggi. Meskipun tentera Islam tidak dapat menuntut bela, namun pergerakan ini
telah menatijahkan kesan yang besar, dengannya kemasyhuran tentera Islam
menjadi gah, membuatkan orang Arab menjadi panik dan taajub, kerana Rom adalah
kuasa besar dan terhebat dunia pada masa itu.
Pada mulanya orang Arab
menyangka keberanian tentera Islam untuk berhadapan dengan tentera Rom itu
adalah tindakan membunuh diri sendiri. Namun setelah tentera Islam dengan
bilangannya yang kecil seramai tiga ribu orang itu mencabar tentera Rom yang
besar lagi gagah gerkasa seramai dua ratus ribu orang itu, kemudian tentera
Islam pulang ke Madinah tanpa mengalami kerugian yang besar, semuanya menjadi
macam satu legenda, malah peristiwa ini, membuktikan bahawa tentera Islam
adalah unik belum pernah bangsa Arab mengenali contoh seperti ini. Jelaslah bahawa tentera Islam telah
dibantu dan disokong oleh Allah s.w.t, dan ketua mereka iaitu Rasulullah adalah
benar. Maka justeru itulah kita dapati qabilah-qabilah Arab yang menjadi musuh
ketat Islam, yang memusuhi Islam hinggalah ke saat sebelum peristiwa bersejarah
itu, telah mengubah pendiriannya, di mana Banu Salim, Asyja', Ghatafan, Zibyan,
Fazarah dan lain-lain telah memeluk Islam. Peperangan ini merupakan permulaan
kepada pertarungan berdarah dengan Rom pada masa-masa hadapan, malah ianya juga
sebagai landasan dan permulaan kepada pembukaan-pembukaan Islam ke atas
negeri-negeri Rom seterusnya penaklukan Islam ke atas negeri-negeri lain yang
lebih jauh.
No comments:
Post a Comment