Thursday, 4 April 2013

17- PERANG BANI QURAIZAH



Sebelum Nabi berhijrah ke Madinah, baginda telah menulis surat perjanjian kepada kaum Muhajirin dan Ansar serta mengikat janji bersahabat dengan kaum Yahudi. Baginda tetap menjamin agama dan harta mereka selama mereka masih terikat dengan perjanjian. Perjanjiannya adalah "kedua-dua belah pihak berkewajipan tolong-menolong dan bekerjasama  untuk memerangi orang yang memerangi salah satu pihak yang telah terikat dalam perjanjian tersebut. Kedua-dua belah pihak (Muslimin dan Yahudi) berkewajipan untuk saling nasihat-menasihati dan berbuat baik serta menjauhkan segala  perbuatan yang menimbulkan dosa. Mereka juga berkewajipan untuk memerangi setiap orang yang akan menyerang kota Yathrib."

Walaupun mereka telah terikat dengan perjanjian tersebut, namun keberkesanan Huyay bin Aktab (pemuda Banu Nadhir) untuk memujuk kaum Yahudi Banu Quraizah supaya melanggar perjanjian tersebut dan  berpihak kepada kaum Quraisy berjaya. Sewaktu Nabi mendengar berita tersebut, baginda mengutuskan Saad bin Muaz (pemuka suku kaum Aus) dan Saad bin Ubadah (pemuka suku Khazraj) untuk menyelidik kebenaran tersebut. Ternyata kaum Yahudi benar-benar melanggar perjanjian tersebut.

Mereka telah bersiap untuk mengadakan serangan kepada kaum Muslimin. Serangan mereka jauh lebih merbahaya dari serangan secara terbuka di medan perang. Setelah Rasulullah dan kaum Muslimin pulang ke Madinah dan meletakkan persenjataan, malaikat Jibril datang kepada baginda dan berkata “Para malaikat masih belum meletakkan senjata mereka. Allah menyuruhmu untuk meneruskan perjalanan ke tempat Yahudi Bani Quraizah dan aku pun akan menuju ke tempat mereka dan akan menggoncangkan mereka.”

Sesampainya Nabi di sana, mereka membuat pengepungan terhadap kaum Yahudi Banu Quraizah selama dua puluh lima malam sampai mereka benar-benar rasa terhimpit dalam pengepungan dan Allah memberikan rasa takut di hati mereka. Banu Quraizah mengutus seseorang kepada Nabi agar baginda mengutus kepada mereka sahabat yang bernama Abu Lubabah iaitu seorang terkemuka dari Banu Amru bin Auf minta pendapatnya. Mereka berkata kepada Abu Lubabah, “Bagaimanakah pendapatmu jika kami menerima putusan Muhammad? Abu Lubabah menjawab, “Ya” sambil mengisyaratkan tanagnya ke lehernya yang bererti penyembelihan. Kata Abu Lubabah, “Demi Allah, kedua kakiku masih tetap ditempatnya semula aku merasa bahawa aku telah berkianat terhadap Allah dan Rasul.”

Kemudian Abu Lubabah terus ke tiang masjid untuk mengikat dirinya. Orang lain berlari untuk melepaskan ikatan Abu Lubabah dari tiang tetapi Abu Lubabah hanya ingin Nabi yang membukakan ikatan itu dengan tangan baginda sendiri. Dan akhirnya Nabi membuka ikatan itu apabila hendak menunaikan solat subuh. Setelah kaum Yahudi Banu Quraizah setuju untuk menerima keputusan Nabi SAW, kaum Aus semuanya menemui baginda dan berkata, “Ya Rasulullah, mereka (Yahudi Quraizah) adalah sahabat kami (Aus) selain kaum Khazraj dan engkau telah berbuat baik terhadap sahabat baik kaum Khazraj (Yahudi Banu Qainuqa) kelmarin seperti yang engkau tahu.”

Kemudian Nabi meminta persetujuan untuk serahkan putusan hukuman kepada seseorang dari kaum Aus dan Saad bin Muaz telah dipilih oleh Nabi untuk membuat putusan hukuman. Jawab Saad bin Muaz, “Aku putuskan hukuman bagi mereka agar seluruh kaum lelaki dibunuh, harta mereka dibahagi dan anak-anak kecil serta kaum wanita ditawan.”. Putusan hukuman itu adalah benar sekali dengan peraturan yang terdapat pada syariat Banu Israel. Akhirnya, dengan keputusan itu, kota Madinah bersih dari segala sarang makar dan permusuhan kaum Yahudi. Dengan ini, kaum Muslimin berasa aman dari segala rusuhan.

No comments:

Post a Comment