Thursday, 4 April 2013

5- PERANG BADAR KUBRA



                Masa                     :Tahun ke-2 H
            Tempat                  :Badar

Pada tahun kedua Hijriah, terjadilah perang Badar yang besar. Perang tersebut menentukan kelangsungan  dakwah islamiah sendiri. Oleh sebab itulah, peperangan ini dinamakan perang ‘Al-Furqan.’ Sebab terjadinya perang ini adalah ketika Nabi mendengar berita ada beberapa kafilah dagang Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan bin Harb pulang ke Syam. Mereka membawa harta dan dagangan yang besar. Pemusuhan antara kaum Muslimin dan kaum Quraisy sudah lama. Kaum Quraisy selalu berusaha untuk memusuhi dan menghalangi syiar Islam dengan segala cara.

Ketika Nabi mendengar tentang kafilah dagang Quraisy tersebut, baginda menganjurkan kepada kaum Muslimin untuk ikut keluar mengejar kafilah dagang itu. Namun, anjuran Nabi tidak begitu mengundang perhatian kaum Muslimin kerana anggapan mereka terhadap kaum Muslimin hanyalah sebuah pasukan yang kecil. Ketika Abu Sufyan mendengar berita tentang pengejaran Nabi dan kaum Muslimin, beliau mengutuskan seseorang untuk mengadukan hal itu kepada pasukan Quraisy di Mekah agar mereka menggagalkan usaha pasukan Islam. Pengaduan ini mengundang kemarahan seluruh penduduk kota Mekah. Kesemua mereka keluar sehingga tiada seorang pun yang tinggal kecuali beberapa orang yang memang tidak mampu.

Ketika Nabi mendengar kaum Quraisy mengirim tentera, Nabi ingin mengetahui bagaimanakah sambutan kaum Ansar terhadap gagasan baginda untuk berperang. Hal ini kerana mereka telah berjanji kepada baginda untuk membela Nabi di negeri   mereka. Kaum Muhajirin menyatakan kesanggupan mereka untuk berperang. Begitu juga dengan kaum Ansar. Kemudian, Rasulullah berkata sambil wajah baginda berseri-seri, “Berangkatlah kalian dan bergembiralah kalian.”

Setelah lengkap persiapan, Nabi beserta seratus tiga belas orang tenteranya mula berangkat. Dari jumlah itu, hanya dua orang sahaja yang menunggang kuda, tujuh puluh orang menunggang unta dan selainnya tiada kenderaan. Mereka saling berganti-gantian menunggang kenderaan. Begitu juga dengan Rasulullah. Ketika Abu Sufyan mendengar berita keluarnya pasukan Islam, beliau memilih jalan pesisiran pantai sehingga selamat. Setelah mereka berasa aman dari kaum Muslimin, Abu Sufyan menulis surat kepada kaum Quraisy yang dalam perjalanan ke Badar supaya segera balik ke Mekah kerana kafilah dagang mereka sudah selamat.

Kaum Quraisy tetap melanjutkan perjalanannya sampai di lembah Badar. Sedangkan kaum Muslimin berhenti di Badar yang lain. Rasulullah bersama pasukannya telah sampai terlebih dahulu di mata air. Kemudian, kaum Muslimin membuat kolam-kolam air dan Rasulullah mengizinkan kaum Musyrikin untuk mengambil minuman. Pada malam itu, Allah menurunkan hujan dan menjadikan tempat kaum Musyrikin banjir sehingga susah untuk mereka bergerak. Sedangkan bagi kaum Muslimin, ia merupakan hujan rahmat.

Sebelum bermula perang Badar, para sahabat membangunkan sebuah panggung untuk tempat Nabi. Panggung tersebut dibangunkan di atas sebuah tempat yang tinggi supaya Nabi dapat memberi arahan kepada para tenteranya. Pada keesokan harinya, kedua-dua pasukan mulai mengatur barisan masing-masing. Setelah mengatur barisan Muslimin, baginda masuk ke dalam panggung bersama Abu Bakar. Dalam panggung tersebut, Nabi menyibukkan dirinya untuk berdoa dan memohin bantuan dari Allah. Baginda merasakan perbandingan antara dua pasukan tidak sebanding. Oleh itu, Nabi memohon agar Allah memberikan kemenangan kepada kaum Muslimin.

Nabi keluar dari panggung lantas memberikan semangat kepada kaum Muslimin untuk bersungguh-sungguh dalam pertempuran. Umair bin Humam al-Anshari adalah orang pertama yang gugur syahid. Semua pasukan Islam tetap di dalam barisan mereka sambil bersabar dan berzikir kepada Allah. Nabi adalah orang yang paling dekat dengan musuh dan baginda jugalah orang yang paling banyak menderita.

Di hari itu, Allah memberikan pertolongan kepada kaum Muslimin dengan menurunkan sejumlah malaikat yang ikut perang disamping kaum Muslimin. Ketika perang berakhir, kaum Muslimin mencapai kemenangan. Dalam peperangan ini, kaum Musyrikin Quraisy yang terbunuh adalah sebanyak tujuh puluh orang dan yang tertawan juga sebanyak tujuh puluh orang. Sedangkan kaum Muslimin yang syahid hanyalah empat belas orang sahaja.

Setelah Nabi mendapat kemenangan di Badar, baginda segera pulang ke Madinah bersama tentera Islam. Dengan kemenangan itu, ramai orang Madinah yang telah memeluk Islam. Nabi berwasiat kepada para sahabatnya untuk tetap berlaku baik terhadap kaum tawanan. Nabi memaafkan kepada semua kaum tawanan perang. Mereka diminta untuk membayar tebusan untuk diri mereka bagi yang mampu. Seseorang yang tidak mampu membayar tebusan, mereka diperintahkan oleh Nabi untuk mengajar sepuluh orang anak kaum Muslimin membaca dan menulis. Setiap orang diminta untuk mengajar sepuluh anak. Zaid bin Thabit termasuk salah seorang yang belajar dengan cara ini. 

No comments:

Post a Comment